Jangan Termakan Harapan Palsu

Jangan Termakan Harapan Palsu

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Masa hadapan negara tidak boleh digadaikan pada harapan palsu yang dibawa oleh pihak pembangkang.

Susulan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, pemimpin Pemuda UMNO Johor menyambut baik seruan pembakar semangat daripada ketua mereka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani, berkata pihaknya akan meneruskan gerak kerja yang disusun oleh kepimpinan pusat, selain melipatgandakan usaha untuk memikat pengundi-pengundi muda.

“Kita akan menyantuni, menangani isu pengundi muda dan paling penting memujuk mereka supaya terus yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya pilihan akan datang.

“Kita tiada pilihan. Kita tidak boleh sandarkan harapan kita terhadap harapan palsu (oleh pembangkang),” katanya kepada Jauhar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sahrihan menyifatkan ucapan dasar Khairy adalah antara yang terbaik daripada beliau, kerana membandingkan sejarah pentadbiran terdahulu dan sekarang bagi memastikan pengundi membuat pilihan tepat pada PRU nanti.

“Saya lihat perbandingan yang dinyatakan oleh Khairy adalah sangat jelas bagaimana dahulunya adalah nostalgia dongeng yang kemudian membawa kepada harapan palsu sekarang.

“Antara lain ialah bagaimana BN menjayakan agenda transformasi yang sangat bercita-cita tinggi, apatah lagi gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Mersing, Hisamuddin Hussin berkata, perkara paling penting sebenarnya adalah mengekalkan momentum persiapan PRU-14 yang dibuat pada tahun lalu agar tidak luntur.

“Tugas ketua pemuda bahagian adalah menterjemahkan mesej istiqamah dengan melaksanakan gerak kerja yang telah diatur untuk menghadapi PRU 14 dan bukannya utk pemilihan parti. Penting juga ketaatan kepada pucuk pimpinan parti perlu diterjemahkan di peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata, mesej Khairy juga sangat memenangi hati orang muda, selain menyuntik semangat kepada semua perwakilan dan dibekalkan dengan maklumat untuk berhujah dengan mereka.

Leave a Reply