Guna Teknologi Dalam Pertanian Digalakkan

Guna Teknologi Dalam Pertanian Digalakkan

LEDANG 5 Dis. ­– Kerajaan negeri me­­ngalakkan pengunaan tek­nologi dan mesin dalam sektor per­tanian bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Ismail Mohamad berkata, penggunaan teknologi seperti kaedah tanaman fertigasi serta pengunaan mesin mampu mengurangkan tenaga manusia terutama pekerja asing.

“Nak tak nak kita terpaksa memperkenalkan pengunaan me­sin dan sudah mengenal pasti beberapa jenis tanaman kontan seperti jagung dan ubi yang boleh ditanam dengan menggunakan mesin.

“Di Johor kita menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Pe­ladang Negeri Johor (PPNJ) kerana mereka mempunyai kemampuan, memiliki pelbagai mesin dan unit pembangunan mesin selain juga mempunyai jentera pertanian sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­nyempurnakan majlis pelepasan Tangkak MTB Jmboree Xplore Ladang 2017 sempena pengisytiharan Tangkak sebagai daerah sukan lasak di SPPK Agro Park Kundang Ulu di sini semalam.

Katanya, selain itu setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada usahawan tani serta koperasi terlibat dalam aktiviti pertanian terutama dimiliki golongan muda untuk menjadi mentor kepada mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang itu berharap kaedah mentor itu mampu membantu dan membimbing mereka yang kurang berpengalaman dalam bidang pertanian.

“Di negeri ini kita sudah me­ngenal pasti dan menyenaraikan mereka yang sudah berjaya sekali gus dilantik menjadi mentor kepada mereka yang baru menceburkan diri dalam pertanian.

“Golongan muda terutama­nya diharap mengambil kesem­patan menjadikan pertanian sebagai kerjaya daripada dasar kerajaan negeri yang membangunkan bidang pertanian,” katanya. -Utusan

 

Leave a Reply