Kukuhkan Kerjasama Pemuda, Puteri – Hishammuddin

Kukuhkan Kerjasama Pemuda, Puteri – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Rangkaian kerjasama antara Pemuda dan Puteri UMNO wajar diperkukuhkan bagi memikat golongan muda, sekali gus membantu parti meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerjasama itu juga akan memastikan kelangsungan UMNO seiring dengan perkembangan semasa.

“Kita tahu sejak dua tahun kebelakangan ini, UMNO diserang oleh pihak tertentu, malah bekas pemimpin kita pun turut menyerang kita. Tetapi tahun ini berbeza kita lebih kuat dan bersatu.

“Menerusi gandingan Pemuda dan Puteri UMNO, saya yakin kita akan dapat kembalikan ‘feel good factor’ terhadap UMNO,” katanya ketika merasmikan majlis makan malam Pink Reunion 2.0 2017 anjuran Puteri UMNO di sini malam ini.

Majlis yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu bertujuan mengeratkan hubungan antara bekas pemimpin dan anggota terdahulu pergerakan itu.

Turut hadir, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 akan bermula hari ini sehingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, dengan 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan itu.

Leave a Reply