Segelintir mangsa Banjir Kilat Enggan Pindah Walaupun Diberi Penempatan Baru

Segelintir mangsa Banjir Kilat Enggan Pindah Walaupun Diberi Penempatan Baru

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis — Segelintir penduduk yang sering kali berdepan ancaman banjir kilat ekoran mendiami kawasan tanah rendah di negeri ini, didapati enggan berpindah ke kawasan baharu, walaupun kerajaan Johor menyediakan tapak lebih bersesuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata di bawah Pelan Kajian Banjir Johor, kerajaan negeri sememangnya ada mencadangkan agar penduduk yang sering terlibat dengan banjir kilat dipindahkan atau diberi penempatan baharu.

Ini termasuk membabitkan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, katanya.

“Kerajaan berusaha memberi tanah untuk memindahkan mereka tetapi ada yang telah ambil tanah baharu tetapi tidak pula hendak pindah. Mereka masih mengharapkan bantuan kerana apabila berlaku banjir, mereka pasti akan dapat bantuan.

“Kami ada bukti mereka telah diberi tapak lebih tinggi (kawasan penempatan lebih tinggi) tetapi kalau orang sudah tamak, dia hendak kedua-duanya (tapak baharu dan bantuan banjir),” kata beliau pada Persidangan Penggal Kelima DUN Johor ke-13, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Chen Choon (DAP-Jementah) yang bertanyakan pelan jangka panjang kerajaan Johor untuk memindahkan mangsa banjir kilat di negeri ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal juga dari Tan, Ayub berkata kerajaan negeri mempunyai pelbagai langkah untuk membendung banjir kilat antaranya membina empangan, memperbaiki sistem saliran, meninggikan tebing sungai, membina benteng pemecah ombak, kolam takungan dan lain-lain.

Namun begitu, penduduk, katanya, harus bertanggungjawab dalam memastikan semua sistem saliran sungai, perparitan dan longkang tidak tersumbat dengan sampah-sarap sehingga mengakibatkan banjir.

Leave a Reply