Parlimen Tebrau Bakal Catat Kawasan Tertinggi Dibangunkan Perumahan Rakyat Johor

Parlimen Tebrau Bakal Catat Kawasan Tertinggi Dibangunkan Perumahan Rakyat Johor

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday menjelaskan Parlimen Tebrau bakal mencatatkan antara kawasan tertinggi dibangunkan Perumahan Rakyat Johor menjelang 2020.

Md Jais berkata merujuk Laporan Task Force Perumahan Rakyat Johor terdapat 17 projek pembangunan Perumahan Rakyat Johor di Parlimen Tebrau dengan sebanyak 11,311 unit pembangunan bermula tahun 2014 hingga 2020.

“Status terkini pembangunan Perumahan Rakyat Johor di Parlimen Tebrau terdiri daripada tiga jenis pembangunan iaitu siap dibina, sedang dibina dan akan dibina.

“Bagi pembangunan yang telah siap dibina bermula 2014 hingga Oktober 2017, sebanyak 671 unit Perumahan Komuniti Johor (PKJ) A  berharga RM42,000 dan 250 unit PKJ B berharga RM80,000 telah siap dibina,” kata Md Jais.

Beliau menjawab soalan Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram) yang ingin tahu jumlah rumah murah PKJ A dan B serta Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang siap, sedang dan telah dibina di Parlimen Tebrau menjelang tahun 2020.

Md Jais berkata bagi RMMJ berharga RM150,000 pula, 642 unit siap dibina di parlimen itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan Perumahan Rakyat Johor yang siap dibina berjumlah 1,563 unit.

Beliau berkata bagi rumah yang sedang dibina pula ia melibatkan 306 unit Perumahan Komuniti Johor A; 1,496 unit Perumahan Komuniti Johor B dan 1,398 unit RMMJ.

Secara keseluruhannya, sebanyak 3,200 unit Perumahan Rakyat Johor sedang dibina di Parlimen Tebrau, katanya.

“Sehingga tahun 2020 pula, 6,548 unit Perumahan Rakyat Johor akan dibina di kawasan Parlimen Tebrau. Ia melibatkan 2,493 unit untuk Perumahan Komuniti Johor A, 644 unit Perumahan Komuniti Johor B manakala sebanyak 3,411 unit bagi RMMJ,” katanya.

Leave a Reply