Keputusan Laksana BRT Bukan Suka-Suka – MB Johor

Keputusan Laksana BRT Bukan Suka-Suka – MB Johor

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis — Keputusan kerajaan Johor dan kerajaan pusat untuk melaksanakan projek Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Malaysia bukan diputuskan secara suka-suka tanpa asas kukuh, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata sebaliknya keputusan tersebut berasaskan pertimbangan besar termasuk mengambil kira populasi Johor Bahru khususnya dan Iskandar Malaysia yang masih kecil untuk kewajaran pembinaan sebuah sistem transit aliran ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT).

“Kos pembinaan LRT dan MRT juga jauh lebih mahal berbanding penggunaan BRT yang kita pilih.

“Kedua-dua perkara (populasi kecil dan kos) ini akan membawa kesan yang besar. Antaranya memandangkan pembinaannya mahal dan populasi penggunaannya sedikit, ia akan menyebabkan harga atau caj tiket menjadi sangat mahal. Ini sekali gus menjadikan tidak praktikal, tidak sesuai dan tidak dipilih oleh masyarakat,” katanya dalam penggulungan membahaskan ucapan Bajet Johor 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata populasi kecil dan kos juga akan menyebabkan aspirasi Johor untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam akan terbantut dan gagal.

Beliau berkata terdapat kira-kira 203 bandar di seluruh dunia memilih penggunaan BRT berbanding LRT dan MRT seperti Copanhagen di Denmark, Stockholm di Sweden, dan Brisbane di Australia.

“Sekalipun begitu, saya boleh nyatakan di sini bahawa, apabila masanya sesuai dan perlu, kerajaan negeri dan pusat pastinya akan mempertimbangkan pembinaan MRT atau LRT pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled menegaskan keadaan penduduk Johor yang bekerja di Singapura tidak sesekali mencerminkan keadaan ekonomi yang teruk atau ketiadaan peluang pekerjaan baik di negeri ini.

Beliau berkata sebaliknya, ia disumbangkan oleh faktor perbezaan mata wang yang sekali gus menjadi pendorong untuk penduduk Johor bekerja di Singapura.

“Saya guna istilah penduduk Johor kerana kita mesti jelas bahawa yang bekerja di Singapura ini bukan semuanya warga Johor. Mereka adalah warga Malaysia yang datang dari pelbagai negeri seperti Kedah, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Mereka tinggal di Johor tetapi mereka adalah rakyat Malaysia dari pelbagai negeri lain,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, tidak merugikan kepada Johor untuk sesiapa jua bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor dan tiada halangan untuk sesiapa jua dari Singapura yang memilih menetap, berniaga dan berbelanja di Johor.

Katanya dengan kedudukan Johor sebagai bandar bersempadan antarabangsa, maka, sudah pasti ia menjadi pusat ekonomi rentas sempadan yang global dan dinamik.

“Ekonomi rentas sempadan seperti ini merupakan fenomena global yang tidak boleh dihalang. Masa depan Johor bakal dicorakkan oleh globalisasi dan bukannya sempadan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata kedudukan Johor harus dilihat dengan pemikiran terbuka kerana tidak semua bandar di Malaysia berpeluang menjadi pusat ekonomi rentas sempadan.

Leave a Reply