Semarak Aspirasi Jentera UMNO Untuk Menang PRU-14 Menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2017

Semarak Aspirasi Jentera UMNO Untuk Menang PRU-14 Menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2017

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Bukan satu rahsia lagi bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2017 merupakan satu persidangan yang akan menyemarakkan aspirasi untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ujar Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, semua perwakilan yang hadir kali ini diminta untuk meneliti dan mengamati amanat Presiden dan seluruh pembahas-pembahas menerusi usul yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung nanti.

“Ia bagi kita mengazamkan satu semangat bahawa daya juang bagi menghadapi PRU-14 ialah satu daya juang yang tinggi dan ada pada semua jentera parti.

“Oleh itu saya mengharapkan pada semua jentera parti yang akan datang ke persidangan ini, termasuklah dari Sabah untuk bersama-sama mengamati amanat yang akan diberikan oleh YAB Presiden parti bahawa kita perlu bersiap siaga menghadapi PRU-14,” ujarnya selepas raptai penuh acara luar dewan iaitu menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ di Plaza Merdeka, di sini pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Rauf menyifatkan persediaan untuk menghadapi PAU 2017 telah 80 peratus bersedia manakala bagi acara luar dewan, telah bersedia sepenuhnya.

PAU 2017 akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Acara rasmi akan bermula dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.

Pada 6 Disember persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri, manakala malamnya pula mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO.

Seramai 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri PAU 2017 yang berlangsung selama lima hari itu bermula 5 Dis. -UMNOOnline

Leave a Reply