J-Biotech Tingkat Ekonomi Rakyat – @KhaledNordin

J-Biotech Tingkat Ekonomi Rakyat – @KhaledNordin

Oleh Iskandar Ahmad

KOTA TINGGI, 2 Dis – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan majlis pertukaran perjanjian di antara Bio Desaru Sdn Bhd dan RBI Group (M) Sdn Bhd bagi Projek Penetasan, Asuhan dan Ternakan Ketam Nipah dan Ikan Marin dengan pelaburan RM4 juta.

Pada masa yang sama, Mohamed Khaled turut merasmikan sebuah lagi projek akuakultur menggunakan sistem Malaysia 1Retirculation Aquaculture System  (RAS2020) oleh Aqua Partners International (M) Sdn Bhd dengan pelaburan RM500 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Bio Desaru akan membangunkan pusat lembu tenusu Holstein Desaru di kawasan seluas 120 hektar di Bio Desaru dengan pelaburan RM15 juta.

“Bagi fasa pertama, Pusat Perintis Koloni Lembu Tenusu di Bio Desaru akan dibangunkan tahun hadapan dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.2 juta dalam menyokong pelaksanaan inisiatif Lembu Tenusu di Johor.

“Sebuah pusat promosi Desaru Cheese turut akan dibangunkan di kawasan seluas 10 hektar yang melibatkan komponen pusat pengeraman dan butik pameran ‘Desaru Cottage’ dengan pelaburan RM5 juta yang dijangka akan siap pada tahun 2019,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, bagi Projek Perintis Tanaman dan Pemprosesan Huluan Kenaf pula projek perintis berskala kecil berkenaan akan dibangunkan oleh anak syarikat J-Biotech Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

“Mereka akan mengenal pasti komponen berkualiti dan Prosedur Operasi Standard (SOP) tanaman kenaf di kawasan seluas 12 hektar di Bio Desaru dengan pelaburan sebanyak RM250,000.

“Bio Desaru yang berteraskan teknologi pertanian termoden berkenaan dibangunkan oleh Bio Desaru Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat kluster makanan di bawah J-Biotech Holdings di kawasan seluas kira-kira 3,600 hektar di sini, katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech, Asman Shah Abd Rahman.

Beliau berkata, perancangan strategik, usahasama penyelidikan, inovasi dan kerjasama antara awam dan swasta telah merancakkan kemasukan pelaburan dalam industri berasaskan pertanian di Johor dan akan terus ditingkatkan.

“Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif dengan melibatkan komuniti setempat dalam aktiviti pembangunan bioekonomi sektor di negeri Johor.

“Program yang telah dibentangkan ketika pembentangan Bajet Johor 2018, menyaksikan komitmen J-Biotech dalam meningkatkan ekonomi rakyat melalui sektor biopertanian, aktiviti bio-penanaman, bio-akuakultur dan bio-ternakan.

“Selari dengan peranan Bio Desaru sebagai Hab Bio-Organik dan Pengeluaran Makanan Kebangsaan dalam mengenalpasti sumber dan kepakaran daripada syarikat peneraju (anchor) untuk bekerjasama dengan peserta daripada kumpulan komuniti setempat dengan koperasi-koperasi setempat bagi pelaksanaan dalam pembangunan projek yang telah dikenalpasti, katanya.

Tambah beliau, bagi fasa pertama yang dimulakan di Bio Desaru sendiri dijangka melibatkan dua buah projek iaitu penanaman nanas MD2 dan moringa dengan anggaran penglibatan seramai 20 orang peserta.

“Peranan yang di mainkan oleh Bio Desaru sebagai Lembah Makanan Organik Kebangsaan begitu signifikan dalam menyahut usaha kerajaan Negeri Johor ke arah memperkukuhkan rantaian pengeluaran makanan dengan memperluaskan aplikasi bioteknologi secara berkesan dalam mengkomersialkan produk keluaran pertanian, katanya.

Leave a Reply