Program Bandar Selamat Dalam Pelaksanaan – Jais

KOTA ISKANDAR, 29 Nov. – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini sedang dan sudah melaksanakan Program Bandar Selamat mengikut mekanisma dan kemampuan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata setiap PBT juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bandar Selamat yang dipengerusikan Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

Beliau berkata ia termasuk Ahli Majlis, agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain agensi.

“Jawatankuasa itu akan bersidang pada setiap bulan bagi membincangkan dan menyelesaikan isu-isu keselamatan secara holistik.

“Turut dibincangkan mengenai pengurangan indeks jenayah, memantau pelaksanaan projek fizikal Bandar Selamat, pelaksanaan program sosial dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mohammad Taslim (PAS-Maharani) pada Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-13 di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, Bandar Selamat adalah bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental.

Persekitarannya paling terpelihara dan tidak menimbulkan suasana yang boleh menggalakkan kejadian yang mengganggu gugat kesejahteraan setempat.

“Penghuninya sentiasa berada dalam keadaan yang paling selamat, sihat, sejahtera dan ceria,” katanya.

Jelas beliau lagi, terdapat empat ciri utama mewujudkan Bandar Selamat pertamanya membabitkan bandar yang bebas dari keganasan iaitu merosakkan harta benda dan jenayah seperti ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya.

“Keduanya, ia adalah bandar yang bebas dari pemusnahan dan malapetaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

“Ketiga, bandar yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah, rasuah dan salah gunakuasa

“Keempat, bandar selamat turut bebas dari kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh bangunan dan kebakaran,” katanya.

Leave a Reply