Peruntukan Khusus Bajet Johor, Tingkatkan Tahap Pendidikan Masyarakat Cina

Peruntukan Khusus Bajet Johor, Tingkatkan Tahap Pendidikan Masyarakat Cina

KOTA ISKANDAR, 30 Nov. – Peruntukan khusus pembangunan masyarakat Cina berjumlah RM6.5 juta yang diumumkan dalam Bajet Johor 2018, diyakini dapat meningkatkan tahap pendidikan kaum itu di negeri Johor.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Belia Malaysia, Chiong Sen How dalam satu kenyataannya, susulan pembentangan Bajet Johor 2018 oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, semalam.

“Sebagai seorang yang berbangsa Cina, saya tertarik kepada Bajet Johor 2018 terutamanya mengenai peruntukan kerajaan negeri untuk Program Pembangunan Masyarakat Cina di negeri Johor, yang mana bermatlamat untuk meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Cina,” katanya.

Peruntukan tersebut terbahagi kepada Yayasan Sultanah Fatimah berjumlah RM3 juta, manakala RM2.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih prasarana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Inisiatif bagi meningkatkan mutu pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di SJKC serta pembiayaan kos pendidikan latihan vokasional pula berjumlah RM1 juta.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan peruntukan kepada Kolej Universiti Selatan yang akan diteruskan dengan jumlah RM500,000 bagi meningkatkan mutu pendidikan tinggi masyarakat Cina.

Dalam kenyataan sama, Chiong turut menyambut baik pelbagai pelaksanaan di bawah inisiatif Bajet Johor 2018 yang memberi fokus kepada perancangan masa depan Johor.

“Dengan tema Bajet Johor 2018 iaitu Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor, ini menunjukkan bahawa Dato’ Mohamed Khaled dan kerajaan negeri merupakan kerajaan yang berfikiran jauh.

“Bukan sahaja memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negeri yang sedia ada, tetapi sentiasa memikirkan masa hadapan negeri di masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply