Pembangkang Tidak Perlu Bising Dalam Isu Tangkapan Rasuah Anak Saudara MB Selangor – Dr Puad

Pembangkang Tidak Perlu Bising Dalam Isu Tangkapan Rasuah Anak Saudara MB Selangor – Dr Puad

KUALA LUMPUR, 1 Dis  – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa dalam isu tangkapan individu yang melibatkan kes-kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ianya tidak sepatutnya dirahsiakan daripada pengetahuan awam dan perlu didedahkan, kerana kes rasuah adalah satu kes yang melibatkan kepentingan awam.

Menurut beliau, sekiranya sekiranya ada kes-kes tangkapan, penahanan dan siasatan yang melibatkan mana-mana individu dalam kes rasuah, tidak kira status dan pangkat seseorang itu, tidak ada keistimewaan identiti mereka untuk dilindungi sekiranya mereka ditahan, ditangkap  mahupun disiasat oleh SPRM daripada pengetahuan umum.

“Jadi apabila ada pihak yang mempertikaikan kes tersebarnya berita penahanan anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam kes rasuah yang melibatkan hampir RM4 juta, maka pada siapa kenapa nak dipertikaikan jika kes tersebut tersebar kepada orang awam?

“Apa bezanya dengan pihak lain, khususnya UMNO dan kerajaan yang ditangkap rasuah, pihak pembangkang sendiri turut menyebar luaskan perkara itu ke pengetahuan umum. Malah bukan setakat itu sahaja, mereka juga turut memberikan pelbagai  tafsiran dan andaian yang tidak berasas. Sedangkan mereka hanya disoal siasat dan belum dijatuhkan hukuman bersalah.

“Sepatutnya pihak pembangkang tidak boleh bising dalam isu ini jika sekiranya individu yang ditahan itu melibatkan pihak mereka. Dan mereka juga janganlah  mendakwa wujudnya sebarang konspirasi kononnya untuk menjatuhkan Menteri Besar dan sebagainya untuk mengaburi mata rakyat, kerana tindakan SPRM itu adalah berdasarkan siasatan yang saya percaya telah dijalankan berbulan atau bertahun sebelum mereka bertindak,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak pembangkang yang mempertikaikan kononnya tangkapan anak saudara Menteri Besar Selangor berhubung isu kes rasuah semalam merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

Mahkamah majistret semalam telah membenarkan penahanan reman selama tujuh  hari terhadap seorang anak saudara Azmin dan tiga individu lain atas tuduhan rasuah melibatkan projek perlombongan pasir.

Keempat individu itu disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) kerana memberi suapan berhubung projek lombong pasir pada tahun 2014 dan membekukan beberapa akaun syarikat yang  bernilai sehingga RM4 juta.

Sementara itu, berucap ketika menghadiri majlis makan malam Persatuan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di PWTC hari ini, Puad  memuji sikap para mahasiswa yang bergerak di dalam Pemanas yang bersikap berani untuk menegur atau bersuara demi kebaikan bersama.

“Kita mesti menjadi mahasiswa yang bersama kerajaan, tetapi berani untuk bersuara dan menegur, mempunyai pemikiran yang kritikal tetapi membina. Sebab itu, para mahasiswa yang menjadi anggota Pemanas seharusnya merasa bangga kerana anda adalah pejuang mahasiswa yang bersama kerajaan, tetapi berani untuk menegur dan bersuara dalam sesuatu isu.

“Sebab itu saya minta saudara saudari di dalam Pemanas, menjadikan persidangan ini sebagai ruang dan tempat untuk anda semua mencari kebenaran dalam sesuatu isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dengan lebih mendalam.

“Saya mahu mahasiswa di dalam Pemanas ini yang menjadi wakil suara mahasiswa dan mahasiswi di IPTA seluruh negara, bukan sekadar berani bersuara untuk menegur dan mengkritik, tetapi juga berani untuk mencari dan menegakkan kebenaran dalam sebarang isu yang timbul di negara ini,”ujarnya. -UMNOOnline

Leave a Reply