Puteri Bakal Saji Pelbagai Aktiviti Menarik Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017

Puteri Bakal Saji Pelbagai Aktiviti Menarik Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, pelbagai aktiviti bakal disajikan oleh pergerakan itu kepada orang ramai yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 5 Disember ini.

Jelas beliau, antara program yang ditekankan adalah Festival ‘Stop Abuse For Averyone For A Safer And Fearless Environment (S.A.F.E.), Pink Reunion 2.0 termasuklah Laman Puteri di Anjung Merdeka, PWTC yang akan melibatkan pelbagai pameran, kempen derma darah, demo seni visual dan pelbagai lagi.

“Festival S.A.F.E ini adalah kempen untuk memerangi penderaan kanak-kanak terutamanya penderaan seksual. Kita mahu memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih peka dan berani menangani isu ini.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga akan melancarkan lori S.A.F.E pada 4 Disember nanti di pintu utama aras 2 PWTC.

“Bagi majlis makan malam ‘Pink Reunion’ pula ia bakal mengumpulkan ke semua bekas Ketua Pergerakan Puteri dan kepimpin Puteri. Program ini akan turut di hadiri oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Selain itu beliau menyeru kepada orang ramai untuk mengunjungi Laman Puteri kerana terdapat pelbagai aktiviti yang akan disajikan.

“Terdapat pelbagai barangan yang akan dijual selain kempen derma darah yang memang diadakan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.

“Terdapat juga pameran berkaitan Pergerakan Puteri UMNO sejak tahun 2013 sehingga kini. Oleh itu, marilah kita beramai-ramai memeriahkan perhimpunan kali ini,” ujarnya lagi.

Leave a Reply