Program Air Percuma Johor Diperluas Kepada Penerima PPR

Program Air Percuma Johor Diperluas Kepada Penerima PPR

ISKANDAR PUTERI, 30 Nov — Program pemberian air percuma negeri yang sebelum ini memanfaatkan golongan miskin, miskin tegar dan Orang Asli, akan  diperluaskan  kepada 7,845 penerima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad berkata langkah terbaharu itu akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM1.69 juta setahun.

Katanya pada tahun lepas, hanya golongan miskin, miskin tegar dan Orang Asli yang berdaftar dalam pangkalan data E-Kasih menerima inisiatif tersebut iaitu seramai 2,910 orang dengan kos sebanyak RM465,309.

Bagi tahun ini,  seramai 3,053 orang daripada golongan sama turut mendapat rebat dengan peningkatan peruntukan sebanyak RM490,640.

“Oleh itu, bagi tahun berikutnya, kerajaan negeri dengan sukacita mengumumkan ia diperluaskan kepada penerima PPR dengan  keseluruhan peruntukan berjumlah RM2.18 juta setahun,” katanya semasa menggulung bagi portfolionya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut Hasni, program itu diperkenalkan pada 2013 sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam membela nasib golongan kurang berkemampuan ketika dihimpit ekonomi yang berkembang pesat.

Mengenai isu lain, beliau berkata surat kerajaan negeri untuk memohon agar kadar harga jualan air mentah Johor kepada Singapura dikaji semula telahpun dikemukakan kepada Kementerian Luar Negara pada Februari 2014 namun sehingga kini belum berjaya.

Katanya  kerajaan negeri memandang serius tentang keperluan mengkaji semula kadar itu namun demikian  keputusan dan tindakan adalah tertakluk kepada kerajaan pusat.

Katanya mengikut Perjanjian Air Johor-Singapura 1962 yang masih berkuat kuasa, Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) perlu membayar harga air mentah yang diambil dari Johor pada kadar 0.03 sen bagi setiap 1,000 gelen.

PUB juga, menurutnya, berhak mengambil air mentah sehingga 250 MGD dari Sungai Johor untuk tempoh selama 99 tahun sehingga 2061 dengan kadar berkenaan.

“Sekiranya PUB memerlukan lebih daripada 250 MGD, PUB hendaklah membeli air terawat daripada kerajaan Johor,” katanya.

Terdahulu, berkenaan sumber air alternafif, Hasni berkata terdapat beberapa syarikat swasta telah menawarkan diri untuk melaksanakan Kajian Sumber Air Bawah Tanah yang mengikut perancangan kerajaan negeri akan bermula tahun depan.

Katanya, syarikat-syarikat itu yang pakar dalam penerokaan air bawah tanah, telahpun membentangkan kertas cadangan mereka kepada pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) dan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) serta dijangka diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

“Sekiranya kerajaan negeri bersetuju, pelaksanaan kajian akan mula dilaksanakan tahun depan. Kerja-kerja tersebut akan dijalankan bersama pihak Universiti Teknologi Malaysia,” katanya.

Leave a Reply