Penggunaan Johor Brand Naikkan Mutu, Kualiti Produk Buatan Johor

Penggunaan Johor Brand Naikkan Mutu, Kualiti Produk Buatan Johor

ISKANDAR PUTERI, 27 Nov — Kerajaan Johor mempertanggungjawabkan Pusat Pembangunan Usahawan (EDC of Johor) sebagai agensi yang akan menyelaras penggunaan logo “Johor Brand” bagi kelangsungan usaha penjenaman logo tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Ismail Mohamed berkata “Johor Brand” dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Eskpo Johor Berkemajuan, bulan lepas, dan penggunaan “Johor Brand” adalah untuk menaikkan mutu dan kualiti produk atau servis pada satu peringkat lebih tinggi.

“Johor merupakan negeri ketiga terbesar di Malaysia selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan yang mencatatkan bilangan pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Bagi meningkatkan kualiti dan keaslian produk tersebut, kerajaan negeri mewujudkan “Johor Brand” bagi mengiktiraf produk keluaran negeri,” katanya menjawab soalan Hamimah Mansor (BN-Penawar) mengenai usaha kerajaan negeri memartabatkan produk buatan usahawan Johor yang membawa identiti Johor, pada persidangan yang sama.

Ismail berkata melalui penjenamaan semula “Johor Brand”, kerajaan negeri meletakkan penekanan khusus pada reka bentuk dan kesedaran jenama serta berusaha untuk menggalakkan satu perhubungan yang efektif dan kuat dengan jenama “Johor Brand” dalam kalangan usahawan dan pelanggan untuk membangun dan mengekalkan kelebihan daya saing.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 20 syarikat telah menggunakan logo “Johor Brand” antaranya Desans Solution Sdn Bhd, A Wood Eyewear dan Nature Renaisance.

Leave a Reply