360 Generasi Kedua Felda Terima Surat Tawaran Perumahan

360 Generasi Kedua Felda Terima Surat Tawaran Perumahan

KOTA TINGGI, 26 Nov — Sebanyak 360 surat tawaran perumahan untuk generasi kedua Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli Timur diserahkan kepada penerima di majlis penyampaian surat tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Surat tawaran tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Anggota Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohamed Sadique di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Sibol di sini semalam.

Ketua Jabatan Perancangan Perumahan Felda Sdn Bhd Mohd Izazulhisam Mat Hussin berkata penyerahan surat tawaran perumahan ini melibatkan sebahagian daripada 20,000 unit rumah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menurutnya, untuk fasa pertama, sebanyak 8,454 unit rumah telah dibina di seluruh rancangan Felda dan daripada jumlah tersebut, 2,574 unit diserahkan pada tahun 2017 melibatkan 11 kawasan Felda.

“Untuk negeri Johor melibatkan tanah rancangan Felda Inas di Kulai (200 unit); Felda Sungai Sibol (180 unit) dan Felda Penggeli Timur (180 unit) di Kota Tinggi. Keutamaan surat tawaran perumahan ini diberi kepada belia yang menetap di tanah rancangan dan sebahagian kepada mereka yang menyewa di sekitar sini,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah berkata Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli adalah  projek taman perumahan baharu dalam tanah rancangan Felda bagi anak-anak generasi kedua, meliputi pembinaan 360 unit rumah dengan tiga bilik dan dua bilik air yang berkeluasan 1,000 meter persegi.

Leave a Reply