216 Pelajar Tahun 1 Terima Insentif Khas Geran Sepadan SSPN-i

216 Pelajar Tahun 1 Terima Insentif Khas Geran Sepadan SSPN-i

JOHOR BAHRU, 26 Nov — Seramai 216 pelajar tahun 1 dari 32 buah sekolah bantuan penuh kerajaan di dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang menerima sumbangan RM100 untuk membuka  akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan SSPN-i Plus dalam usaha kerajaan memupuk sikap menabung di peringkat akar umbi.

Anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abd Samad berkata sumbangan itu merupakan pemberian Insentif Khas Geran Sepadan (RM50) dan sumbangan daripada Pejabat Parlimen Pasir Gudang (RM50).

“Pada pembentangan Bajet 2017 lalu, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 yang dikelolakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui SSPN-i dan SSPN-i Plus kepada pelajar Tahun 1 seluruh negara.

“Di kawasan Parlimen Pasir Gudang terdapat 400 orang murid Tahun 1 yang layak menerima bantuan ini dan hari ini kita serahkan insentif berkenaan kepada 216 pelajar,” katanya selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah dan Penyampaian Sumbangan Pembukaan Akaun SSPN-i di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Heng Seri Alam, di sini hari ini.

Menurut Normala, ini merupakan keprihatinan kerajaan dalam memastikan generasi masa hadapan negara mempunyai jaminan pendidikan dalam tempoh jangka panjang.

Pada program itu, Normala turut menyampaikan dua pasang baju sekolah dan sepasang kasut sekolah yang disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan CCM Berhad kepada pelajar-pelajar berkenaan bagi membantu meringankan beban ibu bapa mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid berkata bagi negeri Johor, pihaknya menyasarkan sebanyak 400,000 akaun akan dibuka pada tahun hadapan.

“Di Johor, sehingga 31 Okt 2017, jumlah pembukaan akaun yang direkodkan adalah sebanyak 351,689 akaun dengan jumlah deposit simpanan sebanyak RM218 juta yang kita jangka akan meningkat pada tahun hadapan,” katanya.

Tambahnya, sehingga 31 Okt 2017, sebanyak 48,000 akaun telahpun menerima bantuan berkenaan.

Menurut Mastura, dalam usaha menggalakkan ibu bapa dan anak-anak menabung, PTPTN  menganjurkan Cabutan Bulanan melalui program ‘Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN’ di mana setiap pemegang akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus berpeluang memenangi hadiah RM10,000 bermula Julai hingga Disember tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 juta yang akan diberikan secara percuma kepada 500 kanak-kanak berusia antara 7 dan 12 tahun ke akaun SSPN yang akan dijenamakan semula kepada Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia.

Kerajaan Negeri Johor yang diwakili Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam pembentangan Bajet Johor 2018 baru-baru ini juga mengumumkan bantuan pembukaan akaun SSPN sebanyak RM50 bagi setiap bayi yang dilahirkan dalam negeri ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM500,000 yang dikendalikan oleh Yayasan Pelajaran Johor.

Leave a Reply