Tengku Putra Jumat gesa kerajaan ambil alih SAJ

Tengku Putra Jumat gesa kerajaan ambil alih SAJ

KOTA ISKANDAR, 26 Nov – Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Abdul Hamid Jumat (BN-Kempas) hari ini menggesa kerajaan negeri mengambil alih syarikat operator air negeri SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) bagi memastikan kepentingan negeri dan rakyat terjaga.

Menurutnya, kerajaan negeri berkemampuan berbuat demikian dengan menggunakan rizab tunai kerajaan.

“Kerajaan negeri memiliki simpanan rizab tunai hampir berjumlah RM4 billion dan dengan itu, pastinya mampu untuk membeli saham dalam syarikat induk yang telah dianugerahkan konsesi penswastaan air Johor, iaitu Ranhill Holdings Berhad (Ranhill).

“Ianya telahpun diapungkan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL),” katanya dalam sesi perhabahasan Bajet Johor 2018 hari ini.

YB Datuk Tengku Putra Jumat

Tengku Putra Haron berkata, Ranhill Holdings Berhad (Ranhill) memiliki pegangan saham 80% dalam SAJ, berbanding kerajaan negeri yang sekadar mempunyai 20% pegangan saham.

Ini, menurut, Tengku Putra Jumat, membuka pintu kepada pelabur asing untuk mensabotaj ekonomi negeri Johor melalui pemilikan saham dalam SAJ.

“Kita harus insaf, andainya syarikat air Johor ini jatuh ke tangan syarikat asing melalui penguasaan saham, tentunya ia turut mendedahkan kepada wujudnya kemungkinan sabotaj ekonomi oleh pelabur asing itu.

“Saya mengutarakan persoalan ini kerana memang tidak dinafikan bahawa kita sedang menuju laju kehadapan untuk menjadi kuasa ekonomi Asia Tenggara.

“Dengan situasi sedemikian, pastinya kita terdedah kepada pelbagai ancaman dan percaturan persaingan dari negara jiran yang begitu mencemburui kemantapan dan kemampuan kita memacu ekonomi negeri Johor untuk terus mendepani cabaran masa depan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, wujud khabar angin mendakwa SAJ berkemungkinan membekalkan bekalan air kepada pemaju pembanggunan mewah, Forest City, yang didakwanya memerlukan lebih kurang 600 juta kubik mililiter air setiap hari apabila ia disiapkan sepenuhnya.

Tengku Putra Jumat berkata angka tersebut menyamai permintaan air bagi keseluruhan kawasan Johor Baru dan Pasir Gudang.

Tengku Putra Jumat berkata perkara ini bertentang dengan ketetapan pemaju tersebut perlu mencari bekalan air sendiri agar ia tidak mengganggu bekalan air kepada rakyat Johor.

“Ini merupakan sikap amat tidak bertanggungjawab kerana ia seolah-olah membelakangkan keputusan kerajaan negeri yang begitu jelas mensyaratkan agar pemaju wilayah pembangunan tersebut mencari sumber air sendiri dan tidak menjejaskan kepentingan rakyat serta negeri.

“Kita tidak mahu hanya kerana kepentingan untuk menyauk untung, maka rakyat dan bangsa Johor didedahkan kepada kemungkinan tercetusnya krisis air di negeri ini lagi.”

Krisis air tahun lalu menyaksikan bekalan air di beberapa kawasan di Johor dicatu.

ADUN Kempas itu juga turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mahu rakyat menuduh dan menghukum kerajaan yang memerintah di bawah parti Barisan Nasional (BN), walhal ianya berpunca daripada pihak lain yang membuat keputusan sambil mengaut keuntungan beratus juta.

“Kini kerajaan di dalam situasi di mana orang lain yang buat keputusan, orang lain juga yang menjadi kaya, malah rakyat yang menderita tetapi kerajaan BN yang dihukum pula.

“Masih ramai lagi di luar sana yang tidak tahu bahawa walaupun namanya Syarikat Air Johor, namun demikian ianya bukanlah dikuasai oleh kerajaan Johor.

“Jika ianya diteruskan juga, kita mahu setiap bangsa Johor wajib di beritahu siapa dalang-dalang sebenarnya yang menyebabkan tangki-tangki dan paip-paip air yang menyalurkan bekalan air ke rumah-rumah mereka kekeringan”, katanya.

Leave a Reply