Kerajaan Johor, ECERDC Laksana Inisiatif Bangunkan Mersing

Kerajaan Johor, ECERDC Laksana Inisiatif Bangunkan Mersing

ISKANDAR PUTERI, 26 Nov — Kerajaan Johor dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang melaksanakan empat inisiatif dalam menjadikan Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul berkonsepkan ‘Dari Hutan Hujan Ke Terumbu Karang’  (R2R).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata konsep R2R berkenaan merangkumi semua produk, aset dan pembangunan dari Taman Negara Endau Rompin hingga ke kawasan pantai, pulau dan terumbu karang di perairan Mersing.

“Inisiatif pertama ialah pembangunan pelancongan ‘kampungstay’ Kampung Air Papan dan Pantai Teluk Buih. Pembangunan ini  dalam proses pelantikan juruperunding reka bentuk yang dijangka dimuktamadkan bulan depan.

“Komponen pembangunan berkenaan termasuk pembinaan calet, menaik taraf rumah pengusaha inap desa dan kemudahan pelancongan serta Iatihan kemahiran usahawan kepada peserta di bawah Program Pembangunan Modal lnsan Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Tee  menjawab soalan K.Raven Kumar (BN-Tenggaroh) yang ingin tahu mengenai projek-projek baharu yang terdapat di Mersing bagi meningkatkan sektor pelancongan di daerah tersebut.

Tee berkata inisiatif kedua pula ialah pembangunan pelancongan Tanjung Penyabong yang merangkumi pembinaan kompleks gerai makanan laut, pusat kraf tangan serta naik taraf jeti pelancong dan nelayan dengan pembinaannya bermula Mei lepas dan dijangka siap Mei 2019.

Beliau berkata inisiatif ketiga ialah menaik taraf Jeti Sungai Jemaluang bermula Mac depan dengan matlamat memajukan lagi aktiviti pelancongan dan juga kemudahan penduduk setempat manakala inisiatif keempat melibatkan pembangunan pelancongan Kepulauan Mersing.

Katanya bagi pembangunan Kepulauan Mersing, ECERDC sedang melaksanakan pembinaan Pusat lnformasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI)  di Pulau Besar yang dijadualkan siap sepenuhnya pada suku kedua 2019.

PIPTLSI juga akan berfungsi sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar bagi masyarakat setempat di Kepulauan Mersing dan akan menjadi antara  utama pelancong ke Kepulauan Mersing.

“Di Pulau Pemanggil pula, pihak ECERDC akan membina jeti dan tembok penahan ombak,” katanya.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa kawasan seluas 404 hektar (1,000 ekar) di persisiran pantai Tanjung Leman sudah dikenal pasti berpotensi untuk menarik pelaburan dari pihak swasta bagi projek pelancongan bersepadu,” katanya.

Menurut Tee, potensi pelaburan persisiran pantai Tanjung Leman berkenaan dianggarkan bernilai RM3 bilion dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 13 tahun.

Katanya  beliau yakin keempat-empat inisiatif berkenaan akan mentransformasikan dan mengukuhkan lagi daerah Mersing sebagai sebuah lagi destinasi pelancongan unggul di negeri ini.

Leave a Reply