Johor pertimbang tingkatkan pegangan saham dalam SAJ – @HasniMohammad1

Johor pertimbang tingkatkan pegangan saham dalam SAJ – @HasniMohammad1

KOTA ISKANDAR, 26 Nov – Kerajaan negeri Johor sedang mempertimbangkan cadangan meningkatkan pegangan saham dalam SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) untuk mengawal operasi operator perkhidmatan air negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri peka dengan kemungkinan syarikat tersebut jatuh ketangan pelabur asing.

Beliau bagaimanapun berkata perkara tersebut dapat dielakkan dari berlaku.

“Dari segi komersial prospektif, ianya bukan satu perkara yang mustahil, ianya boleh dibuat.

“Tetapi kalau ianya dimiliki 100% atau keseluruhan saham dimiliki orang asing atau pihak yang tidak dipersetujukan oleh kerajaan (negeri), kerajaan boleh membatalkan, melalui SPAN (Syarikat Pengurusan Air Negara) lesen yang mereka miliki,” kata Hasni pada satu sidang media di luar Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan beberapa wakil rakyat termasuk Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai) dan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang membangkitkan mengenai keperluan kerajaan negeri mempunyai kawalan dalam operasi perkhidmatan air di negeri ini.

“Kita hari ni mendapat gambaran ada pihak merasakan bahawa kerajaan negeri perlu ada satu bentuk kawalan terhadap syarikat air negeri terutamanya dari segi operasi supaya di peringkat awal kita dapat menentukan sama ada perancangan yang dibuat adalah sesuatu yang menjadi keutamaan kepada kita.?

“Sebagai contoh, meningkatkan keupayaan loji sama ada nak dibuat seperti di Kluang atau Pengerang supaya kerajaan perlu diutamakan dalam menentukan kemudahan dari segi keuntungan syarikat.?

“Jadi, kawalan dalam bentuk itu perlu. Dan untuk membolehkan kawalan berada di bawah kuasa kerajaan negeri ialah dengan kita meningkatkan pegangan saham daripada 20% kepada satu (jumlah) peratusan yang merupakan majoriti,” katanya lagi.

Leave a Reply