Malaysia Bawa Isu Ancaman Keganasan Di ASEAN Pada Mesyuarat IMCTC

Malaysia Bawa Isu Ancaman Keganasan Di ASEAN Pada Mesyuarat IMCTC

KLUANG, 25 Nov — Malaysia akan membangkitkan isu dan usaha menangani ancaman keganasan di rantau ASEAN pada mesyuarat pertama Majlis Menteri-Menteri Pertahanan Pakatan Ketenteraan Islam Memerangi Keganasan (IMCTC) di Riyadh, Arab Saudi, esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama ASEAN dalam mengekang aktiviti militan seperti  Daesh termasuk rondaan trilateral maritim dan udara  antara Malaysia, Indonesia dan Filipina perlu dibentangkan supaya anggota IMCTC yang membabitkan 41 negara mengetahui tindakan ASEAN.

“Saya akan bawa apa yang menular di rantau kita. Apa yang berlaku (pertempuran tentera Filipina dengan penyokong Daesh) di bandar Marawi, Filipina, mesti dibawa ke sana (IMCTC) kerana buat pertama kali kita tengok bendera Daesh atau IS dikibarkan di rantau ASEAN,”  katanya kepada pemberita selepas melancarkan program bootcamp e-rezeki dan e-usahawan Parlimen Sembrong di sini, hari ini. .

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata beberapa perkara yang dibincangkan dengan  Presiden Indonesia Joko Widodo dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah beberapa  hari lepas juga akan dibentangkan pada mesyuarat itu bagi menunjukkan kerjasama ASEAN menangani keganasan.

Katanya negara-negara di rantau lain perlu mengetahui apa yang berlaku di ASEAN supaya mereka dapat memberikan sokongan terhadap usaha menangani ancaman keganasan sekali gus berkongsi pengalaman dalam menghadapi ekstremisme.

?????Hishammuddin berkata  kebimbangan Malaysia terhadap ancaman keganasan sudah ditekankan sejak lama malah beliau juga sudah menjelajah ke seluruh 10 negara anggota ASEAN sejak empat tahun lepas bagi melakukan tindakan bersama dalam menangani ancaman tersebut.

“Trilateral rondaan maritim dan udara bersama Malaysia, Filipina dan Indonesia sudah dilancarkan. Ini membuktikan apa yang kita cakap ini bukan cakap-cakap kosong. Kita mahu ASEAN bersepakat,” katanya.

Mesyuarat IMCTC dijadual dirasmikan Putera Mahkota merangkap Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi Putera Mohammed Salman Al-Saud yang akan menyampaikan ucaptama terhadap empat bidang iaitu ideologi, komunikasi, pembiayaan memerangi keganasan dan ketenteraan bagi memerangi kumpulan pengganas.

Berhubung serangan keganasan terhadap sebuah masjid di Mesir yang mengorbankan 235 jemaah pada Jumaat, Hishammuddin berkata semua pihak perlu memahami tiada negara terkecuali daripada pengganas dan sehubungan itu semua pihak perlu mengaambil tindakan proaktif dan bersama bagi menanganinya.

“Kita kena beritahu rakyat supaya jangan ambil mudah dan jangan ingat keharmonian itu datang bergolek dan melayang. Ia juga berkat kesatuan dan perpaduan antara Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa lain,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 235 jemaah terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam serangan pengganas di masjid terletak di utara wilayah Sinai, yang menyasarkan jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

Leave a Reply