Bajet Johor 2018 Lakar Rancangan 10 Tahun Ke Hadapan, Capai Sasaran Johor Berkemajuan

Bajet Johor 2018 Lakar Rancangan 10 Tahun Ke Hadapan, Capai Sasaran Johor Berkemajuan

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn menyifatkan Bajet Johor 2018 yang dibentangkan semalam di Dewan Undangan Negeri Johor melakar rancangan 10 tahun ke hadapan sekali gus sebahagian daripada pelan untuk mencapai sasaran Johor Berkemajuan.

Tambahnya, ia satu kesinambungan dari kejayaan 100 peratus negeri itu dalam melaksanakan Bajet Johor 2017.

“Bajet yang lalu memberi pulangan besar kepada negeri dan rakyat Johor secara keseluruhannya. Kalau dilihat daripada pembentangan tersebut, dapat dirasai bahawa perancangan yang teliti telah dibuat.

“Rata-rata menyatakan rasa puas hati terhadap pelaksanaan Bajet Johor 2017 Kerajaan BN Negeri Johor. Kelicinan implementasi oleh pegawai-pegawai kerajaan Johor dan agensi-agensi negeri memberi impak maksimum dari segi tahap kepuasan rakyat,” ujarnya.

Bastien mengulas pembentangan Bajet Johor 2018 oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang merupakan belanjawan lebihan buat kali kelapan berturut-turut sejak 2011.

Jelas Mohamed Khaled, belanjawan bertemakan ‘membangun dekad baharu yang sejahtera untuk Johor’ membabitkan anggaran hasil sebanyak RM1.504 bilion dan anggaran perbelanjaan bernilai RM1.503 bilion.

Dalam pada itu kata Bastien, pengumuman bajet setiap tahun tidak harus diukur berdasarkan angka-angka yang gemilang sahaja.

“Paling penting cara pelaksanannya menjadi ukuran keberkesanan dan kebolehan kerajaan yang dipilih untuk merealisasikannya.

“Setiap tahun Kerajaan BN berjaya mencernakan harapan dan keperluan rakyat Johor melalui pengumuman Bajet yang sentiasa tepat memenuhi kehendak dan keperluan.

“Ia ditambah pula dengan pegawai perkhidmatan Awam Negeri Johor (JCS) yang berupaya serta komited menghasilkan impak yang maksimum. Ramuan ini ada di negeri Johor,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO.

Tambahnya, Bajet 2018 Johor kali ini mempunyai 153 titik sentuh yang bukan hanya menemukan kehendak rakyat tetapi menyediakan persekitaran kondusif bagi mendepani cabaran ekonomi masa hadapan.

“Mengambil contoh ketara antaranya seperti peruntukan pembangunan terminal kenderaan berat, Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu, penubuhan bank benih, B5 Johor Street Market, Tabung Usahawan Asnaf,” tambahnya.

Sementara itu, ketika ditanya soal penghargaan kepada pegawai kerajaan yang lebih rendah daripada Selangor, Bastien menyatakan bahawa keupayaan sesebuah negeri itu tidak diukur semata-mata kepada bonus kakitangan awam.

“Paling penting keberanian sesebuah kerajaan meletakkan keutamaan sebagai asas perbelanjaan untuk rakyat mencerminkan kedudukan kukuh kerajaan negeri melaksana amanah yang diberikan.

“Kerajaan Selangor ternyata menghamburkan dedak pilihan raya. Mereka tiada pilihan. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu kekal.

“Di Johor kita beri penghargaan bukan sahaja kepada pegawai kerajaan tetapi jaringan rakyat yang lebih luas sehinggakan kepada penggerak masjid, pelatih pusat pemulihan.

“Malah guru tadika agama Islam juga menjadi penerima asalkan mereka terlibat menggerakkan kemajuan Johor. Ini baru dinamakan penghargaan dan bukan ‘dedak’,” katanya.

Bastien kemudian merumuskan Bajet Johor 2018 merupakan satu belanjawan lebih baik dan terarah untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang termaju.

“Kita menggalakkan semua pihak termasuk rakyat untuk memantau pelaksanaannya dengan lebih rapat. Dekad Johor akan bermula,” jelasnya.

Leave a Reply