Bajet Johor 2018 Jawapan Kepada Paksi Ekonomi Dan Agihan Yang Saksama – Norshida

Bajet Johor 2018 Jawapan Kepada Paksi Ekonomi Dan Agihan Yang Saksama – Norshida

SEGAMAT, 24 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, YB Norshida Ibrahim melihat Bajet Johor 2018 merupakan bajet yang menjadi jawapan kepada pengukuhan paksi ekonomi dan meningkatkan hasil pendapatan.

Menurut beliau selain itu belanjawan ini juga dapat dilihat bagaimana kerajaan negeri memastikan pengagihan yang adil dan saksama untuk seluruh rakyat pelbagai peringkat di dalam smeua bidang.

“Belanjawan yang dibentangkan pada kali ini merupakan bajet yang menjadi jawapan kepada dua persoalan utama. Pertama, mengukuh paksi ekonomi dan memacu pertumbuhan rancak, dengan maksud meningkat hasil dan pendapatan. Kerana kita dapat melihat unjuran pendapatan negeri meningkat daripada bajet yang lalu.

“Keduanya, memastikan perbelanjaan terurus untuk memperkemas prasarana dan memastikan pengagihan adil dan saksama buat segenap lapisan masyarakat.Kita dapat melihat bajet ini menyentuh semua lapisan masyarakat di Negeri Johor daripada warga emas dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Malah kata beliau lagi, rakyat negeri lain yang menetap di Johor turut menerima peruntukkan khas dari kerajaan Negeri.

Kerajaan Johor hari ini membentangkan Bajet 2018 dengan catatan lebihan sebanyak RM1.141 juta.Ia adalah bajet lebihan untuk tahun kelapan berturut-turut sejak 2011.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anggaran hasil pada 2018 adalah sebanyak RM1.504 bilion berbanding perbelanjaan RM1.503 bilion.

“Perbelanjaan mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM1.503 bilion yang terdiri daripada RM493.358 juta untuk emolumen dan RM1 bilion untuk perbelanjaan lain-lain,” katanya ketika pembentangan bajet bertema ‘Bajet Johor 2018: Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor’ di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Norshida seterusnya menambah peruntukan yang cukup tinggi di dalam pembangunan dan naik taraf prasarana yang tinggi turut menampakkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan pembangunan infrastruktur di negeri berkenaan.

“Kita lihat peruntukkan membina serta menaik taraf prasarana juga sangat tinggi dalam bajet kali ini dan kita amat alu-alukan komitmen sedemikian rupa demi kepentingan masyarakat serta rakyat Johor seluruhnya,” katanya.

Leave a Reply