Wanita UMNO Anjur Anugerah Nadi Negara, Sabtu Ini

Wanita UMNO Anjur Anugerah Nadi Negara, Sabtu Ini

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bersama Alumni Nadi Negara akan menganjurkan Majlis Anugerah Nadi Negara pada 25 Nov ini di Dewan Tun Hussein Onn, dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pengerusi Sekretariat Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraslina Datuk Zainal Abidin berkata, Majlis Anugerah Nadi Negara ini merupakan salah satu program Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO.

“Program ini adalah di bawah Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi (SPPT), Pergerakan Wanita UMNO bersama Alumni Nadi Negara diilhamkan oleh Tan Sri Shahrizat Abd Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan telah dilaksanakan sejak lapan tahun yang lalu.

“Anugerah ini bertujuan memberi penghargaan kepada graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, aktif dalam kokurikulum serta mempunyai ciri kepimpinan berkualiti semasa mengikuti pengajian di universiti.

“Pada tahun 2017, Anugerah Nadi Negara 2016 diteruskan kesinambungannya dengan penganugerahan kepada 25 graduan yang terdiri daripada 20 graduan universiti awam, dua graduan universiti swasta, seorang graduan lepasan universiti luar negara dan buat julung kalinya, anugerah ini turut diberikan kepada dua orang penerima dalam kalangan graduan orang kelainan upaya (OKU),” ujarnya kepada media di sini hari ini.

Selain itu, tambahnya pihak SPPT telah mengenalpasti lima orang penerima Dermasiswa Nadi Negara yang akan diberikan kepada mereka yang kini melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

“Dana yang bersifat ‘one-off’ ini diberikan sebagai bantuan untuk mereka menamatkan pengajian mereka. Dana Dermasiswa Nadi Negara ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Minda.

“Pertubuhan Alumni Nadi Negara ditubuhkan bagi mengumpul alumni penerima Anugerah Nadi Negara yang sehingga kini berjumlah seramai 150 orang.

“Bersama Wanita UMNO, Alumni akan meneruskan khidmat sosial yang berfokuskan pendidikan kepada rakyat. Pada majlis kali ini akan dilancarkan logo Pertubuhan Alumni Nadi Negara,” ujarnya lagi.

Tambahnya, pada sebelah pagi sebelum Majlis Anugerah Nadi Negara 2017, satu sesi Bicara Pasca Bajet 2018yang bertajuk Mengungguli Pembangunan Pendidikan, Latihan dan Kemahiran Serta Bakat akan diadakan yang melibatkan Pengerusi-pengerusi Sekretariat Pendidikan Wanita UMNO Bahagian-bahagian dari seluruh negara, badan berkanun yang berteraskan pendidikan dan juga pelajar-pelajar.

Dua orang panel dijemput untuk membicarakan topik tersebut  iaitu  Naib Canselor  Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pengarah Bahagian Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

“Satu sesi amanat khas akan disampaikan oleh Tan Sri Profesor Emirretus Ibrahim Abu Shah Pengerusi Yayasan Minda merangkap Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia.

“Tujuan Sesi Bicara Pasca Bajet 2018 adalah  untuk mengupas Bajet Pendidikan 2018 yang diumumkan oleh perdana menteri serta membicarakan perkara berkaitan pendidikan serta mengambil pandangan suara akar umbi.

“Bahan perbincangan akan dijadikan panduan untuk usul dan isi perbahasan dalam topik pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang,” ujarnya lagi yang juga merupakan EXCO Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. –    UMNO-Online.

Leave a Reply