Ucapan MB Johor @KhaledNordin Sempena Majlis Pengistiharan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri

Oleh Iskandar Ahmad

JOHOR BAHRU, 22 Nov – Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dengan rasminya diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam satu majlis yang disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di tapak pejabat baru MBIP di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan membacakan titah pengisytiharan dan menandatangani plak pengisytiharan MBIP dan turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim serta anakanda yang lain.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani serta Noh Omar mewakili Kerajaan Persekutuan menyampaikan secara rasminya Suratcara Pengisytiharan Taraf Bandaraya kepada Mohamed Khaled.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, pengisytiharan MBIP adalah amat penting dalam mengembalikan kemasyhuran nama Iskandar Puteri dan membuktikan betapa pesatnya pembangunan di kawasan Iskandar Puteri.

“Pengisytiharan itu juga penting kerana ia akan melonjakkan transformasi tatakelola wilayah Iskandar sekali gus muncul sebuah lagi bandar raya di Johor yang berkepentingan nasional dan antarabangsa.

“Iskandar Puteri adalah gelaran lama Pusat Pentadbiran Negeri yang dipindahkan dari Teluk Belanga, Singapura sebelum ditukar kepada Johor Bahru pada 1866.

“Nama berkenaan terhasil dengan menggabungkan nama Temenggung Daeng Ibrahim Iskandar dengan peristiwa beliau mendarat di Tanjung Puteri untuk tujuan mencari penempatan kawasan pentadbiran.

“Kita berharap Bandaraya Iskandar Puteri bukan sahaja akan menjadi sebuah bandaraya yang maju, moden dan terbaik, tetapi dengan terpaterinya nama yang besar dan bermakna ini, ia juga akan menjadi simbol ingatan berkekalan rakyat kepada sejarah yang pernah dilalui oleh Johor,” katanya.

Khaled berkata, Iskandar Puteri akan diuruskan sebagai sebuah bandar raya dengan sistem penyampaian yang setara dengan citra kependudukannya dan tuntutan inovasi dalam sistem penyampaian.

“Akan berlaku perubahan yang drastik dari pelbagai segi tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan, malah standard dan kecekapannya sesuai dan selari dengan tanda aras sebuah bandaraya antarabangsa.

“Pada masa yang sama, mutu perkhidmatannya mesti bersandarkan amalan terbaik global dan ia pastinya akan mendatangkan manfaat dan kesan yang luar biasa kepada masyarakat setempat.

“Di wilayah inilah, pemusatan segala aktiviti ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadikan Johor kuasa ekonomi baru untuk Malaysia. Maka peranan bandar raya baru ini sangat besar. Ia mesti menjadi katalis kepada semua perancangan dan idea besar ini.

“Bandaraya Iskandar Puteri akan berada dalam kelasnya yang tersendiri serta menjadi saingan yang unik kepada bandar raya yang berjaya dan ternama seperti Dubai, Doha, Tokyo, Seoul, London, Sydney dan sebagainya, katanya.

MBIP sebelum ini yang dikenali sebagai sebagai MPJBT bermula pada 2001 selepas dinaik taraf dari Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MDJBT) dan ianya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kedua yang dinaik taraf kepada bandar raya di Johor selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 sekali gus menjadikan MBIP adalah bandar raya ke-14 di Malaysia.

Sementara itu, Yang Dipertua MPJBT, Adib Azhari Daud dilantik sebagai Datuk Bandar Pertama MBIP yang mana majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar akan berlangsung esok di Dewan Undangan Negeri Johor.

Leave a Reply