Lebih Ramai Wanita Berkebolehan Diperlukan Dalam Politik – MB Johor

Lebih Ramai Wanita Berkebolehan Diperlukan Dalam Politik – MB Johor

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya lebih ramai wanita berkebolehan diperlukan dalam kepimpinan politik tanah air baik di peringkat tertinggi mahupun bawahan.

Katanya pada masa ini bilangan mereka terlalu kecil sedangkan wanita Malaysia mempunyai potensi tersendiri yang boleh menyumbang kepada dinamik politik negara.

“Kita tidak mahu wanita hadir hanya kerana mereka wanita. Kita mahu melakukan perkara yang betul dan bukan sekadar ‘politically correct’.

“Kita tidak mahu lagi keadaan di mana Malaysia, dalam kurun ke 21 ini, masih dilemaskan dengan kuota yang dibuat kononnya demi mewujudkan kesaksamaan gender dalam politik. Itu pendekatan dahulu. Pendekatan lapuk,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Wanita Johor 2017, di sini hari ini.

Justeru katanya adalah suatu yang merugikan jika potensi wanita dalam politik tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana negara memerlukan bakat yang terbaik untuk mengemudi negara baik lelaki mahupun wanita.

Terdahulu, bersempena dengan karnival itu, beberapa anugerah telah disampaikan kepada golongan wanita, antaranya Anugerah Tokoh Wanita (Anugerah Khas) Johor yang diberikan kepada Datin Paduka Hapipah Endot.

Hapipah, 71, merupakan bekas Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ) yang amat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain pernah menyandang jawatan penting dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dari 1991 hingga 2016.

“Anugerah ini merupakan kejutan buat saya. Saya telah mula aktif dalam aktiviti kemasyarakatan ini sebelum saya pencen lagi. Walaupun sudah tua, saya masih aktif,” katanya etika ditemui pemberita selepas penganugerahan itu.

Leave a Reply