DASAR KELESTARIAN AKAN MEMACU JOHOR BERKEMAJUAN DI MASA HADAPAN – @AyubBinRahmat

DASAR KELESTARIAN AKAN MEMACU JOHOR BERKEMAJUAN DI MASA HADAPAN – @AyubBinRahmat

BONN, Germany, 16 November – Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan perlindungan dan pemuliharaan persekitaran semula jadi ke arah kemampanan alam sekitar bagi mengimbangi pembangunan pesat negeri itu selaras dengan Rancangan Malaysia ke-11 yang menekankan pertumbuhan ekonomi yang lebih hijau dan mengambil kira Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan Dasar Kelestarian Johor untuk mencapai pembangunan yang lebih komprehensif di Johor yang terdiri daripada ekonomi, sosial dan alam sekitar

“Johor yang progresif bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi yang pesat, tetapi ianya juga mengambil kira aspek pemuliharaan warisan semulajadi, memupuk gaya hidup hijau, memajukan sektor ekonomi, memperbaiki tadbir urus dan memperkasakan rakyat Johor.

“Justeru, Dasar Kelestarian Johor 2017-2021 memberi penekanan yang besar terhadap tanggungjawab bersama dan memanfaatkan komitmen dari semua pihak di Johor. Dasar ini telah dirumuskan dengan input dan kolaborasi yang kuat dari pihak berkepentingan serta akan menjadi panduan kami bagi lima tahun akan datang dalam membangunkan negeri secara mampan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Ke-23 Negara Parti (COP23) hari ini.

COP23 merupakan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjayakan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang bermatlamatkan untuk mencegah pemanasan global.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menjelaskan, matlamat dasar ini adalah untuk memulihara dan melindungi warisan semulajadi, mengawal pencemaran dan meningkatkan pertumbuhan karbon rendah sambil memastikan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan semua rakyat Johor.

“Untuk mencapai matlamat ini, dasar ini dipandu oleh empat prinsip iaitu, tanggungjawab bersama, penyertaan, langkah berjaga-jaga dan tadbir urus yang baik.

Selain itu jelasnya, dasar ini mempunyai lima teras yang meliputi pemuliharaan aset semula jadi, memupuk gaya hidup yang bertanggungjawab, menghijaukan ekonomi, meningkatkan tadbir urus dan memperkasakan rakyat.

“Lima teras strategik diasaskan berdasarkan kepada Muafakat Johor, satu inisiatif yang digerakkan untuk menggalakkan penglibatan bersama rakyat pelbagai kaum di Johor,” katanya.

Beliau menambah, pengisian Dasar Kelestarian Johor juga menyediakan Kerangka Kerja Masyarakat Berkarbon Rendah – Low Carbon Society (LCS) bagi Iskandar Malaysia dan Pelan Tindakan LCS untuk lima pihak berkuasa tempatan di sekitar wilayah ekonomi tersebut.

“Penyediaan dan penyiapan dokumen-dokumen LCS ini dimungkinkan oleh kerjasama erat antara Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dan lima Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian (MDP),” jelasnya.

 

Leave a Reply