PBT Pengerang yang pertama terima sijil Sistem Pengurusan Anti-Rasuah

PBT Pengerang yang pertama terima sijil Sistem Pengurusan Anti-Rasuah

PENGERANG, 12 Nov – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang menjadi PBT pertama di Johor menerima Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah daripada SIRIM Berhad dan SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Lebih membanggakan, PBT Pengerang baru beroperasi tidak sampai setahun setelah mula beroperasi Januari 1 lalu.

Anugerah itu diberikan kepada Jabatan Keselamatan Industri dan Kesejahteraan Rakyat yang merupakan satu daripada tujuh jabatan yang beroperasi di bawah PBT Pengerang.

Usaha untuk mendapatkan sijil ini adalah cetusan idea Yang Dipertuanya, Bukhari Abd Rahman sebagai langkah memartabat serta memperkukuhkan lagi integriti tadbirurus PBT Pengerang sekaligus memperkukuhkan landasan ke arah sifar rasuah.

“Sebagai PBT baharu, banyak yang kami perlu lakukan pada peringkat permulaan operasi walaupun ada kekangan dari segi tenaga kerja, pengalaman mahupun sumber bagi melaksanakan proses pensijilan ini.

“Kini kami lebih yakin dengan adanya persijilan ISO 37001:2016 ini. Pencapaian ini mendorong PBT Pengerang untuk mempunyai tadbir urus yang lebih berintegriti dan sifar rasuah pada setiap masa,” kata Bukhari, selepas menerima sijil itu pada Majlis SIRIM-Industri 2017.

Beliau berkata jabatan lain dalam PBT Pengerang juga akan melalui proses sama bagi mendapatkan sijil tersebut.

“Kami mensasarkan seluruh PBT akan memperoleh persijilan ISO 37001:2016 ini dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan bagi menyokong dan membudayakan sikap anti-rasuah ialah melancarkan slogan ‘Pilih Tiada Rasuah’ dan Kempen Kesedaran Bahaya Rasuah yang melibatkan semua anggota kerja PBT Pengerang.

“Seluruh anggota pekerja PBT ini juga telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah. Seterusnya, Polisi Whistleblowing dilancarkan bagi menyediakan ruang perlaporan aktiviti rasuah. Selain itu, taklimat integriti kepada anggota pekerja dan pihak luar seperti kontraktor, perunding dan pembekal juga telah dijalankan, baru-baru ini.”

Leave a Reply