MIC Pembela Masyarakat India

MIC Pembela Masyarakat India

JOHOR BAHRU, 9 Nov – Masyarakat India di Johor diminta terus menyokong MIC kerana hanya parti itu yang benar-benar memperjuangkan nasib mereka di negara ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, masyarakat India harus bersatu bagi memperkuatkan MIC supaya parti itu dapat terus membela mereka.

“Saya percaya banyak lagi (program) yang hendak dibuat dan (peruntukan) yang boleh diberi, malah di Johor banyak kita boleh beri di bawah program inklusif.

“Tetapi, jika masyarakat India bergaduh sesama sendiri, kita mahu beri (peruntukan) kepada siapa pun kita tidak tahu. Kita beri kepada orang ini adalah salah, kita beri kepada orang itu salah, baik kita beri kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Deepavali di Dewan Raya Taman Universiti anjuran Badan Perhubungan MIC Negeri Johor di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Md Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor, R Vidyananthan; Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Johor, Datuk M Asojan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan replika cek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM760,000 daripada Kerajaan Negeri kepada sembilan kuil di seluruh Johor.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berharap pimpinan MIC di semua peringkat dapat memobilisasikan segala jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Mana yang dah buat, mantapkan. Mana yang belum, gerakkan sekarang di semua bahagian dan cawangan tanpa mengira wakil masyarakat India bertanding atau sebaliknya.

“Saya percaya MIC akan memastikan Barisan Nasional di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi lebih kuat dan efektif,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, MIC telah maju selangkah demi selangkah dan dapat melakukan perkara yang terancang dan berstruktur untuk memposisikan masyarakat India dengan lebih baik sejak di bawah kepimpinan Dr Subramaniam.

“Saya juga ucap tahniah kepada Dr Subramaniam kerana telah berjaya memastikan Kerajaan Pusat untuk menerima Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia, yang boleh membawa kemajuan kepada masyarakat India,” katanya. –JAUHAR

Leave a Reply