Dr Hou pilihan MCA untuk pertahan Tebrau

Dr Hou pilihan MCA untuk pertahan Tebrau

TEBRAU, 11 Nov – Naib Presiden MCA Datuk Dr Hou Kok Chung dinamakan sebagai calon untuk Parlimen Tebrau dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan perkara tersebut dalam sebuah program di Johor Bahru semalam.

Hou merupakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi pada 2008 hingga 2013, dimana beliau ketika itu merupakan Ahli Parlimen Kluang.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kluang dalam PRU13 apabila tewas di tangan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Penyandang kerusi Parlimen Tebrau pula, Khoo Soo Seang, 71, telahpun memberikan isyarat untuk tidak mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihan raya akan datang.

Khoo sendiri telah melepaskan jawatan sebagai ketua Bahagian MCA Tebrau Oktober lalu.

Tebrau secara tradisinya ditandingi oleh PKR untuk blok pembangkang dengan Ketua Cabang PKR Tebrau Steven Chong telahpun dicadangkan oleh PKR negeri Johor untuk sekali lagi menjadi calon bagi kerusi tersebut.

Dalam PRU13, Khoo menundukkan Chong dengan majoriti 1,767 undi.

Namun terdapat ura-ura bahawa DAP juga berminat untuk bertanding di kerusi Tebrau.

Data PRU13 menunjukkan Parlimen Tebrau mempunyai 90,482 orang pengundi dengan 47% pengundi Melayu diikuti pengundi Cina (38%) dan pengundi India (13%).

Leave a Reply