Akhirnya Tun Mahathir Bersetuju Dengan Kerajaan – @NajibRazak

 

Oleh Iskandar Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Akhirnya Tun Mahathir bersetuju dengan Kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak berkata, atas keterlanjuran kata Tun Mahathir yang menjanjikan pemansuhan GST, dia kini mahu menggantikan GST dengan SST iaitu sebuah sistem lapuk yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia.

Beliau berkata, analoginya menukar GST dengan SST tersebut sama seperti menggantikan roda bulat dengan roda berbentuk petak zaman dahulu kala.

“GST diperkenalkan kerana ianya lebih moden, telus dan mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 buah negara di dunia serta mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“SST yang mahu diguna pakai Tun Mahathir mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual, katanya.

Najib Razak berkata, pengenalan sistem SST berkenaan bukan sahaja terkebelakang atau ketinggalan zaman, malah ianya juga akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

“Tun Mahathir tahu akan perkara ini dan pernah memperakui GST lebih baik daripada SST dan ketika zaman pentadbiran beliau juga yang mengesyorkan kita menaik taraf kepada sistem GST.

“Dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST, katanya.

Menurut Najib, Tun Mahathir dilihat seperti mahu mengemis undi daripada rakyat dan menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST di mana kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli.

“Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual memaklumkan jumlah cukai dalam resit, malah mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguatkuasa dan rakyat juga tidak sedar bahawa mereka masih dikenakan cukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan.

“Bagi GST pula, secara telus penjual perlu menyatakan jumlah kadar GST berkenaan iaitu 6 peratus, katanya.

Najib Razak menegaskan bahawa jika pihak pembangkang ikhlas untuk menghapuskan cukai barangan, jangan cuba menipu rakyat dengan menyatakan bahawa akan menggantikan GST dengan cukai SST yang sebenarnya tersembunyi dan sudah lapuk serta memansuhkan sahaja cukai barangan dan perlu menyatakan di mana mereka mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun.

Leave a Reply