Nama Bot Dalam Bahasa Melayu, Taktik Nelayan Asing Elak Penguatkuasaan

Nama Bot Dalam Bahasa Melayu, Taktik Nelayan Asing Elak Penguatkuasaan

JOHOR BAHRU, 8 Nov  — Dengan menggunakan nama bot dalam Bahasa Melayu serta penggunaan bendera Malaysia, Jalur Gemilang pada bot adalah antara taktik terbaharu yang dikesan digunakan oleh nelayan asing semata-mata untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik mereka ini tidak berjaya apabila berjaya dikesan oleh bot ronda pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi, tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili Kepten Maritim Amran Daud berkata pihaknya menahan dua bot nelayan asing Vietnam dalam keadaan mencurigakan sedang menangkap ikan sekitar perairan tersebut.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata kedua-dua bot itu masing-masing ditahan pada jarak 22 batu nautika tenggara Tanjung Sedili pada pukul 12.05 tengah hari dan 12.28 tengah hari.

“Bot nelayan asing Vietnam didaftarkan dengan nama Azam Baru 1 dan Azam Baru 2 membawa 23 orang kru termasuk tekong dan awak-awak yang berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun,” katanya.

Amran berkata bot terbabit didapati membawa muatan lebih kurang empat tan pelbagai jenis ikan dan dan dua tan ikan baja.

“Pihak kami turut merampas pelbagai peralatan menangkap ikan, kapal serta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM450,000,” jelasnya.

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati bot terbabit tidak memiliki lesen menangkap ikan serta beberapa awak-awak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Kedua-dua bot itu ditahan dan ditunda ke Jeti Maritim Tanjung Sedili, dekat sini untuk tindakan siasatan selanjutnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan jika sabit kesalahan, setiap awak-awak kapal boleh dikenakan denda RM100,000 setiap seorang manakala tekong atau nakhoda boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Ini adalah tangkapan kesembilan yang berjaya dilakukan oleh Daerah Maritim 7 bagi kes nelayan asing pada tahun ini.

“Kita akan melipatgandakan operasi – operasi mengesan, menahan mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan undang-undang Malaysia dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Amran turut menyeru orang ramai terutamanya nelayan tempatan agar menyalurkan maklumat jika berlaku sebarang pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara dan hendaklah menghubungi Pusat Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili 24 jam di talian 07-8916595.

Leave a Reply