Ucapan MB Johor Sempena Majlis Pelancaran Iskandar Puteri Data Centre – @KhaledNordin

Pembangunan IPDC Satu Langkah Ke Arah ‘Intelligent Johor’ – @KhaledNordin

Oleh Iskandar Ahmad

JOHOR BAHRU, 7 Nov – Kerajaan Negeri mahu membawa Johor ke arah ‘Intelligent Johor’, iaitu kerajaan dan masyarakat yang dibangun dan dimakmurkan melalui kepintaran dan kebitaraan idea, kreativiti, inovasi dan teknologi digital.

Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata, selain aktiviti ekonomi yang berorientasikan masa hadapan, kerajaan dan tatakelolanya juga perlu berubah kepada era kerajaan digital dan urusan pentadbiran yang lebih baik.

Menurut beliau, pada zaman ini menyaksikan maklumat bukan lagi sekadar satu himpunan rekod, tetapi sumber kekayaan dan khazanah serta menjadi aset bukan hanya untuk perniagaan tetapi kepada kerajaan dan memberikan kesan kepada pengoperasian perniagaan.

“Dengan visi Johor untuk melahirkan ‘Intelligent Johor’ yang ekonomi dan masyarakatnya menggunakan pengaruh idea dan kreativiti serta dengan bantuan  teknologi digital, mencetuskan pelbagai inovasi yang boleh merangsang perniagaan dan pertumbuhan ekonomi serta memberi manfaat pada masyarakatnya.

“Dengan wujudnya pembangunan pusat berkenaan ianya akan mendatangkan beberapa manfaat kepada Johor terutamanya di Iskandar Malaysia antaranya ia menjadi titik rujukan kepada pelbagai pelabur dan pemain-pemain industri global bagi menjadikan lokasi ini sebagai lokasi utama dalam aspek penyimpanan data yang selamat dan stabil.

“Seterusnya inisiatif ini akan memangkin pertumbuhan pusat-pusat data seiring dengannya dan sedia tahu Johor menawarkan kos pengoperasian yang amat kompetitif berbanding di negara-negara jiran seperti Singapura dan negara Asia lain.

“Selain menarik minat pemain global, Pusat Data ini akan dapat merangsang pembangunan kluster syarikat perkhidmatan pengkomputeran awan tempatan dan ianya memberikan kesan domino kepada keupayaan menarik para pelabur asing untuk melabur di negara kita,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Iskandar Puteri Data Center (IPDC) TM One, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Leave a Reply