TM ONE Lancar Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC)

TM ONE Lancar Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC)

Oleh Iskandar Ahmad

JOHOR BAHRU, 7 Nov – TM One, unit rumusan perniagaan sektor perusahaan dan awam Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) melancarkan pusat data tercanggih baharu, Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC) TM ONE dengan jumlah pelaburan sehingga RM300 juta di Taman Teknologi Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

Pengerusi TM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, pusat data pertama seumpamanya di Malaysia membabitkan Pusat Data Tier 3 itu berperanan sebagai hab serantau untuk menyediakan perkhidmatan merangkumi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terurus, perkhidmatan Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO), perkhidmatan awan dan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Langkah itu juga bagi memenuhi keperluan pelanggan perniagaan di Malaysia dan rantau Asean terutamanya bagi keperluan ekonomi digital negara yang semakin meningkat.

“Kami bangga untuk mengumumkan pelancaran rasmi pusat data IPDC yang bertaraf dunia, direka khas untuk memenuhi keperluan pengehosan, awan dan Internet Untuk Segalanya (IoT) pelanggan-pelanggan perniagaan dan perusahaan kami serta agensi kerajaan dalam merealisasi transformasi digital mereka,” katanya.

Menurut beliau, pusat data berkenaan bersedia untuk memenuhi piawaian tertinggi industri bagi nemastikan tahap ketersediaan yang tinggi, penjimatan tenaga dan ciri keselamatan serta spesifikasi sambungan paling maju dan ianya memenuhi keperluan perusahaan yang inginkan tahap kebolehpercayaan yang tinggi khususnya institusi-institusi kewangan.

“Kami komited dalam menyediakan pelanggan kami dengan rumusan perniagaan yang canggih, ditambah pula dengan khidmat sokongan pelanggan terbaik ke arah meningkatkan produktiviti perniagaan dan daya saing mereka dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan pusat data ini adalah bukti usaha berterusan TM dalam merealisasikan aspirasi negara untuk menjadi hab digital dan IoT bertaraf dunia di rantau ini dengan dipacu dan diperkasakan oleh keupayaan TM ONE.

“Pusat data berkenaan yang pertama dari dua prasarana utama dirancang Kumpulan TM dalam memenuhi jangkaan pertumbuhan permintaan yang pesat didorong oleh teknologi data dan pengehosan, malah dengan perkembangan ini, TM ONE bersedia menawarkan perniagaan dengan tahap daya saing yang lebih tinggi di petingkat global.

“Pada hari ini IPDC yang juga pusat data pertama Malaysia diiktiraf sebagai ‘Uptime Institute Tier III Certification’ bagi Rekabentuk dan Kemudahan Terbina, katanya.

Terdahulu pusat berkenaan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan Pengarah Eksekutif atau Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman.

Leave a Reply