Ramalan @KhaledNordin Benar Belaka, JDT 2 – 0 Kedah

Ramalan @KhaledNordin Benar Belaka, JDT 2 – 0 Kedah

SHAH ALAM, 4 Nov – Pasukan bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim berjaya merangkul kejuraan Piala Malaysia 2017 dengan menumbangkan Kedah dengan jaringan 2-0.

JDT mendahului seawal minit ketiga dengan jaringan oleh pemain pertahanan kebangsaan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, susulan satu sepakan penjuru yang diambil oleh Mohammad Safiq Rahim.

Walaupun ketinggalan, Kedah kekal dengan taktikal permainan hantaran pendek namun pertahanan JDT kental bertahan.

Penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen juga mempunyai peluang satu lawan satu berdepan penjaga gawang JDT Izham Tarmizi Roslan namun Izham pantas meluru keluar untuk menutup ruang Ken Ilso untuk membuat percubaan lebih baik.

JDT dan Kedah turut mempamerkan corak permainan agresif dengan beberapa keping kad kuning dilayangkan kepada pemain kedua-dua pasukan.

Dua peluang terbaik Kedah hadir kepada pemain sayap kanan, Baddrol Bakhtiar namun tandukannya sekadar hinggap ke palang manakala satu lagi peluang ketika dalam posisi satu lawan satu berdepan Izham gagal disempurnakan Baddrol yang menyaksikan rembatannya terkena tiang.

Jaringan Gonzalo Cabrera pada min 63 bagaimanapun dilihat merentap semangat juang pemain-pemain Kedah dan menutup ruang kembali buat mereka.

Kemenangan malam ini menyaksikan JDT, yang merupakan juara Liga Super Malaysia empat kali berturut-turut, menghampakan hasrat Kedah untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia untuk dua tahun berturut-turut.

Ia juga saat yang manis buat Safiq yang akhirnya melengkapkan koleksi pingat kejuaraan buat pertandingan dalam negara dengan merangkul Piala Malaysia malam tadi.

Kemenangan tersebut turut sekaligus menepati ramalan yang dibuat Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, yang meramalkan kemenangan 2-0 buat skuad Harimau Selatan.

Cabrera turut diumumkan pemain terbaik perlawanan, melengkapkan malam yang istimewa buat pasukan JDT dan peminatnya.

Leave a Reply