Puteri UMNO Perlu Guna Pendekatan Luar Kelaziman Di Medan Tempur Milenium Pada PRU 14 – @KhaledNordin

Puteri UMNO Perlu Guna Pendekatan Luar Kelaziman Di Medan Tempur Milenium Pada PRU 14 – @KhaledNordin

 

Iskandar Ahmad

JOHOR BAHRU, 5 Nov – Pergerakan Puteri UMNO di negeri Johor khususnya perlu lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang kerana ianya di ibaratkan seperti berperang di medan tempur milenium

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk menghadapi cabaran tersebut Puteri UMNO disarankan untuk menggerakkan langkah demi mempertahankan maruah dan legasi Barisan Nasional sekali gus memastikan kelangsunggan UMNO dan perjuangan melayu di masa hadapan.

Menurut beliau, Puteri UMNO perlu memastikan pergerakan dan gerak kerja perlu diselaraskan kerana mereka tidak boleh berkerja secara bersendirian dan perlu menekankan kolaborasi dengan pelbagai pihak serta bersifat non linear.

“Pada pilihan raya akan datang kempen yang digerakkan mesti menggunakan pendekatan di luar kelaziman iaitu dengan mendekati golongan millenials mesti di lakukan dengan instrumen yang menjadi nadi kehidupan mereka iaitu media sosial.

“Puteri UMNO perlu menggunakan saluran media sosial untuk menyakinkan golongan tersebut mengenai agenda utama parti, manifesto serta perancangan dan masa depan yang ditawarkan untuk rakyat.

“Konsep seperti klip video inspirasi yang hanya 30 saat sahaja akan lebih memberi kesan daripada kaedah memacak ribuan bendera, malah dengan info grafik yang menarik, ringkas dan bermaklumat akan lebih memberi kesan dari ceramah-ceramah panjang di bawah khemah, katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera IT UMNO dan Jalinan Rakyat (JR) PLUS Pergerakkan Puteri UMNO Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, hari ini.

Khalid Nordin berkata, mereka perlu mengelakkan dari membangkitkan sebarang sentimen atau provokasi yang akan mencetuskan atau kemudaratan kepada parti dan semua masyarakat.

“Kita adalah parti yang berjiwa besar dan bukannya untuk kepentingan peribadi, malah matlamat kita adalah kesejahteraan penduduk Johor dan Malaysia jadi jangan biarkan diri kita menjadi mangsa ancaman atau ketidakmatangan yang mungkin akan dimainkan oleh mana-mana pihak yang tidak senang dengan kekuatan dan perpaduan kita.

“Saya pohon kita terus berdoa dan menyerah segala-galanya kepada Allah SWT dan walaupun Johor adalah kubu kuat kita, namun jangan cepat berpuas hati dan memandang ringan semua perkara. Saya yakin, niat yang baik jika disusuli dengan kerja keras yang ikhlas akan dibantu dan dipermudahkan olehNya, Insya-Allah, katanya.

Leave a Reply