Puteri harus jadi golongan depan dekati pengundi millenials

Puteri harus jadi golongan depan dekati pengundi millenials

JOHOR BAHRU, 5 Nov – Puteri UMNO diharap dapat membantu parti bagi mempengaruhi pengundi alaf baru yang bakal mengundi buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata PRU14 akan menjadi pertempuran merebut undi pengundi baharu.

“Di Johor sahaja, kita akan berhadapan dengan kira-kira 300,000.00 pengundi baru. Mereka ini bukan sahaja pengundi pertama kali, tetapi adalah golongan muda atau pengundi millenials,” kata Mohamed Khaled, dalam Majlis Pelancaran Jentera IT UMNO dan Jalinan Rakyat Plus Pergerakan Puteri UMNO Johor.

Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md. Jais Sarday dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Mohamed Khaled berkata pengundi baharu ini merupakan golongab pro maklumat, kebenaran dan kebebasan, bahkan sukar untuk difahami ahli politik.

“Lalu siapa lagi yang harus mengalas kerja berat ini kalau bukan Puteri?

“Saudari semua adalah sebahagian dari millenials ini. Anda semua lebih dekat dan memahami mereka berbanding kami. Anda tahu sikap dan pemikiran mereka. Anda tahu kemahuan dan tuntutan mereka.

“Jadi, gunakan kelebihan dan kedudukan ini untuk memainkan peranan. Tampil ke hadapan dan ajak mereka untuk bersama-sama dengan kita,” tambah Mohamed Khaled, yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Beliau turut mencabar pergerakan Puteri UMNO untuk menjadi golongan terkehadapan dalam mendekati pengundi muda supaya golongan tersebuy tidak menjadi tunggangan politik pihak tidak bertanggungjawab.

“Yang lebih penting, kita mesti memastikan mereka sedar dan benar-benar tahu, bahawa kita mempunyai pelan dan rancangan untuk masa depan mereka.

“Kita bukan sahaja mahukan undi mereka. Tetapi kita mahukan penglibatan dan sumbangan mereka kepada negara.

“Kita mahu mereka menjadi golongan yang memeta dan menjayakan masa depan Johor. Kerana mereka itu adalah masa depan Johor.”

Leave a Reply