Ucapan @KhaledNordin Sempena Majlis Perasmian Premis Ar-Rahnu & Bangunan Wisma KOOPJB

 

Oleh Iskandar Ahmad

JOHOR BAHRU, 3 Nov – Dalam era moden kini koperasi mesti menjadi gerakan yang memperkasakan anggotanya dalam bentuk dan gaya baharu serta perlu kekal relevan dan menjadi wahana buat anggota untuk membina kehidupan lebih baik.

Menteri Besar Johor, Datuk Sri Mohamed Khalid Nordin berkata, antara tujuan utama koperasi adalah untuk membantu memberi pembiayaan kepada para anggotanya.

“Kecekapan pengurusan sesebuah koperasi tidak hanya bergantung kepada ketelusan dan integriti koperasi tetapi perlu mengadaptasi bentuk pengurusan moden yang sezaman dengannya termasuk mengoptimumkan aplikasi penyampaian perkhidmatan dan maklumat secara lebih pantas dan cekap.

“Koperasi perlu berupaya menjadi medium untuk para anggotanya memanfaatkan peluang mengggerakkan ekonomi berimpak tinggi malah dengan keadaan ekonomi hari ini pelbagai peluang dan gerakan koperasi tidak boleh berpuas hati sekadar menjadi pemain pasif atau entiti sampingan dalam ekonomi.

“Di Johor menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sihat, malah sudah mampu menyaingi negeri-negeri lain dari aspek kepesatan ekonominya dan kita perlu memecut menjadi kuasa ekonomi selatan di Malaysia, katanya.

Menurut beliau, koperasi sudah tidak boleh lagi sekadar menjadi satu gerakan lesu yang hanya mengumpulkan dana kecil daripada sebilangan pencarum dan tidak mahu keluar daripada kelaziman atau sekadar menjadi gerakan yang enggan dan tidak berani mengambil risiko untuk pergi lebih jauh dalam aktiviti ekonomi.

“Koperasi harus muncul sebagai gerakan yang berupaya memberi kesan dan pengaruh kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat dan memastikan corak operasinya dapat meraih manfaat daripada kerancakan aktiviti ekonomi negara dengan lebih besar.

“Misalnya menerusi penglibatan dan pelaburan koperasi dalam industri berprofil tinggi seperti sektor kewangan, hartanah, perumahan, perhotelan, sektor hiliran minyak dan gas serta industri kreatif.

“Tindakan KOOPJB mengembangkan sayapnya kepada aktiviti ar-Rahnu, Homestay dan Sewaan Premis serta cadangan untuk membuka Pusat Hemodialysis, adalah satu langkah yang tepat, katanya ketika Majlis Perasmian Premis Ar-Rahnu KOOPJB dan Bangunan Wisma KOOPJB Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad, di Dataran Larkin, Johor Bahru, hari ini.

Mohamed Khalid berkata, selain perlu ditadbir urus secara jujur dan professional, beberapa kelemahan koperasi seperti operasi yang bersaiz kecil, budaya keusahawanan yang rendah, kurang pemahaman tentang koperasi dan kekurangan pengurusan yang profesional perlu diatasi.

“Budaya keusahawanan yang rendah, kekurangan pemahaman tentang koperasi dan potensinya ini adalah antara perkara yang menyebabkan koperasi kekal di takuk lama dan berharap perkara-perkara seperti ini dapat dilihat dan dinilai semua oleh koperasi.

“Saya berharap KOOPJB akan dapat muncul dengan sebagai salah satu pemain ekonomi penting di Johor. Ia wajar menjadi satu instrumen yang progresif dalam meningkatkan daya saing dan kuasa ekonomi para anggotanya.

“Pihak kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada segala usaha yang baik khususnya yang melibatkan kepentingan dan kebaikan kepada pegawai kerajaan di Negeri Johor ini, katanya.

Beliau berkata, banyak jasa dan sumbangan-sumbangan para pegawai kerajaan kepada kemajuan dan pembangunan Negeri Johor serta ianya menjadi salah satu usaha pentabiran kerajaan negeri yang sedia ada untuk memberikan pulangan serta manfaat kepada semua pegawai kerajaan di Negeri Johor.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad, Dr. Abd. Rais Abu Bakar.

Leave a Reply