Ucapan MB Johor Sempena Majlis Penyerahan Notis 5A Kampung Sentosa – @KhaledNordin

162 Penduduk Terima Notis 5A

Oleh Iskandar Ahmad

PASIR GUDANG, 2 Nov – Penduduk di tiga buah kampung di Pasir Gudang iaitu Kampung Sentosa, Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat akhirnya dapat menarik nafas lega apabila mereka berjaya mendapatkan hak milik tanah dan menerima Notis 5A daripada kerajaan negeri di Dewan Kampung Kopok hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyerahan notis bagi fasa kedua itu diberikan kepada 162 penduduk di tiga perkampungan berkenaan.

Menurut Mohamad Khaled, pemberian Notis 5A kepada semua penduduk terbabit membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menunaikan janji dengan tindakan.

“Pemberian notis ini membuktikan kerajaan Johor tidak pernah membuat janji kosong saja malah membuktikannya dengan tindakan.

“Penyerahan notis ini sudah pastinya begitu bermakna kepada pemohon dan membolehkan mereka merancang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah yang diberikan itu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, permuafakatan tinggi antara penduduk kampung dan kepimpinan membolehkan impian menyerahkan Notis 5A itu terlaksana.

“Kami diperingkat kerajaan negeri tiada halangan untuk bersetuju dan menyampaikan Notis 5A kepada penduduk dan sebenarnya banyak tempat perlu dijayakan bagi kerja-kerja permohonan yang rumit, namun usaha memberikan notis ini menjadi dasar dan pendirian kerajaan negeri dalam menjayakannya.

“Kerajaan negeri berpendapat dalam keadaan pembangunan yang pesat, ia tidak memberi makna dalam kemajuan dicapai itu jika soal keprihatinan rakyat tidak disempurnakan termasuk memiliki tanah dan rumah, katanya.

Menurut beliau, sebuah kerajaan yang baik akan sentiasa membuka ruang, mencipta peluang kepada rakyatnya untuk berdiri, lebih mandiri dan membina kehidupan lebih baik.

“Kita juga beri perhatian besar dengan pelbagai projek yang sudah dibuat mahupun projek yang akan dibuat membabitkan pelbagai projek termasuk Johor Corporation (JCorp).

“Dasar kerajaan negeri juga meletakkan kaum Bumiputera tinggal di bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan serta mahu hidup secara bermaruah dan bermakna dengan memberi hak milik selain memastikan kemudahan asas disalurkan.

“Sehubungan itu kita pastikan mereka yang tinggal di bandar duduk secara sah dan dapat hak milik mereka untuk tinggal secara sah tanpa berdepan masalah,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Notis 5A Kepada Penduduk Kampung Sentosa, Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat di Dewan Kampung Kopok, Pasir Gudang, Johor.

Sementara itu, Mohamed Khaled bersetuju memberikan diskaun 50 peratus ke atas premium pada harga tanah berbanding kadar semasa dikenakan terhadap mereka.

“Langkah itu bagi membantu penerima Notis 5A supaya tidak dibebani kadar premium tanah yang tinggi sebelum itu dengan syarat menukar statusnya kepada tanah rizab Melayu.

“Jika ikut pasaran semasa harga pasaran antara RM12 hingga RM19 bagi setiap kaki persegi dan menjadi amalan kerajaan negeri memberikan hak milik tanah daripada permohonan penduduk dengan tidak mengenakan harga pasaran.

“Ini bermakna harga premium tanah 60 tahun pajakan dengan kadar 15 peratus bernilai RM3 diberikan diskaun RM1.50, manakala pajakan 99 tahun dengan kadar 30 peratus RM6 diberikan diskaun RM3,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru, Azman Mohd Shah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Leave a Reply