Siap Sedia Hadapi Banjir

Siap Sedia Hadapi Banjir

JOHOR BAHRU 1 Nov. – Kira-kira 800 anggota Ang­katan Pertahanan Awam Malaysia (APM) nege­ri ki­ni diletakkan dalam keadaan bersiap-sedia untuk menghadapi banjir pada akhir tahun ini.

Pengarah APM negeri, Kolonel (PA) Mat Zin Bujang berkata, persediaan mental dan fizikal anggotanya sudah dilakukan dengan melakukan latihan menghadapi banjir atau simulasi.

Jelasnya, latihan menguji kemahiran teori serta praktikal anggota APM itu dilakukan supaya apabila banjir kerja-kerja menyelamat berjalan lancar, cepat, cekap dan teratur.

“Buat julung kalinya tahun ini kita mengadakan latihan ketika berlaku banjir secara berpusat bagi memberi pendedahan kepada 90 pegawai dan anggota bertugas ketika banjir.

“Latihan ini dilihat amat pen­ting bila berlakunya banjir agar kita biasa dan mengetahui peranan masing-masing meskipun melibatkan hanya APM namun akan dikoordinasi dengan agensi lain apabila berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat Latihan Pemantapan Pengurusan Bencana Peringkat Negeri 2017 di pejabat APM negeri, Bandar Baru Uda, di sini semalam.

Mat Zin berkata, secara keseluruhan APM negeri mempunyai anggota tetap, aktif dan sukarelawan yang dibahagi kepada tiga zon iaitu Utara (Muar, Tangkak dan Segamat); Tengah (Batu Pahat, Kluang dan Mersing) dan Selatan (Johor Bahru, Pontian dan Kota Tinggi).

“Apabila berlaku banjir, cuti anggota tetap akan dibekukan, meskipun kita berada dalam kesiapsiagaan namun kita berharap agar tiada musibah teruk yang berlaku di negeri ini.

“Daripada segi aset kita baru menerima dua lori baharu. Aset mencukupi kerana kita akan mendapat bantuan aset-aset dari jabatan dan agensi yang terlibat dalam banjir,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Menurutnya, APM negeri ketika ini memiliki 10 unit kenderaan 4×4, 14 Ambulans, enam lori 3 tan, tujuh lori 5 tan, 36 unit bot, 41 enjin, 400 jaket keselamatan dan 400 khemah termasuk 95 unit tandas bergerak.

Mengenai latihan itu, beliau berkata, antara yang dilakukan ialah waktu tindak balas terhadap panggilan, kemahiran mene­rima atau menyelamatkan mang­sa banjir, menghantar mangsa yang cede­ra menggunakan ambulans serta menyediakan laporan bencana.

Menerusi simulasi latihan tersebut, Mat Zin berkata, seramai 87 individu membabitkan 38 keluarga di Kampung Tuah Jaya dan Kampung Kampung Maju Jaya di sini berjaya ‘dipindahkan’. -Utusan

 

 

Leave a Reply