Jika Benar Bajet 2018 Adalah Rasuah, Sila Lapor Kepada SPRM – Ir. Hamim

Jika Benar Bajet 2018 Adalah Rasuah, Sila Lapor Kepada SPRM – Ir. Hamim

KUALA LUMPUR, 2 Nov – “Jika benar Bajet 2018 adalah rasuah, silalah lapor ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar perkara ini boleh disiasat kerana rakyat juga ingin tahu,” ujar Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohammad yang menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan baru-baru ini sebagai bajet rasuah.

Jelas beliau, pembangkang sebenarnya berasa terpukul kerana hakikat sebenarnya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak adalah satu bajet terbaik yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Kalau kita dengar ucapan bajet yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib, saya yakin majoriti rakyat negara ini gembira.

“Cuma pembangkang yang tidak gembira… mereka tuduh mengatakan bajet ini bajet gula-gula, bajet rasuah, bajet pilihan raya dan sebagainya, tapi mengikut pengalaman saya di Dewan Rakyat, tidak pernah sekalipun program atau dasar kerajaan yang pada pandangan pembangkang adalah baik dan semata-mata untuk rakyat.

“Mereka sentiasa mencari ruang untuk menampakkan kelemahan kerajaan walaupun kita telah buat sehabis baik. Jadi, tidak perlulah kita layan sikap pembangkang ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Justeru jelas beliau, rakyat harus menilai semula sikap pembangkang di negara ini sama ada mereka membangkang untuk kebaikan atau mereka membangkang hanya untuk membakar semangat dan perasaan rakyat kerana mereka ada agenda lain.

“Kalau mereka tuduh bajet ini adalah bajet pilihan raya, isu ini telah lama dimainkan. Di zaman perdana menteri terdahulu juga dimainkan perkara yang sama.

“Apa yang penting rakyat boleh menilai dan tahu faedah yang diperolehi melalui bajet ini sama ada dapat secara terus atau sebaliknya. Kalau kita tengok, bajet ini adalah bajet yang menyeluruh untuk semua peringat baik di peringkat bawahan atau atasan.

“Contoh, rakyat di peringkat B40, mereka tidak membayar cukai, ini adalah satu keistimewaan dan mereka memang layak malah pada pembentangan baru-baru ini, skop ini diluaskan lagi,” ulasnya lagi. – UMNOOnline

Leave a Reply