Kilang Baja, Ladang Ayam Akibatkan Pencemaran Ammonia Diarah Tutup

Kilang Baja, Ladang Ayam Akibatkan Pencemaran Ammonia Diarah Tutup

KOTA ISKANDAR, 1 Nov — Kerajaan negeri hari ini memutuskan agar kilang baja dan ladang ayam yang menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor, Jumaat lepas, ditutup serta merta bagi mengelak kejadian sama berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Ismail Mohamed serta pelbagai pihak berkaitan termasuk Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ).

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran itu walaupun  pihak pengusaha ladang ayam ada mengemukakan permohonan baru-baru ini, untuk mengubah syarat tanah yang diusahakan.

“Selain membuat keputusan ladang ini ditutup, kita juga menggunakan Enakmen Bekalan Air 2014 untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha kilang baja tersebut dengan menawarkan kompaun.

“Penggunaan enakmen ini akan kita rujuk kepada pihak pegawai undang-undang negeri bagi menentukan jumlah kompaun atau saman yang boleh dikenakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengikut peruntukan enakmen itu, kompaun maksimum yang boleh dikenakan ke atas pengusaha kilang terbabit adalah berjumlah RM250,000 manakala saman dibenarkan sehingga RM500,000.

Hasni berkata dalam mesyuarat sama, kerajaan negeri juga memutuskan agar beberapa permohonan  aktiviti di kawasan berhampiran sungai yang mungkin memberi impak serupa pada masa akan datang, dibatalkan atau  tidak disambung permit atau lesen pengeluaran.

Ini termasuk kegiatan melombong pasir di Sungai Tiram atau mana-mana kawasan tadahan air, katanya.

“Kerajaan juga meminta BAKAJ agar membuat pemantauan di semua kawasan utama  seperti di Sungai  Johor supaya aktiviti yang boleh menggugat kualiti air di sungai-sungai berkenaan dapat dibendung melalui tindakan tegas yang diambil,” katanya.

Pada Rabu lalu, pencemaran ammonia di Sungai Johor menyebabkan tiga loji rawatan air ditutup  sementara, mengakibatkan hampir dua juta penduduk di daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi mengalami  gangguan bekalan air.

Leave a Reply