Johor cuti jika JDT menang di final

Johor cuti jika JDT menang di final

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Kerajaan negeri Johor akan mengumumkan Ahad sebagai cuti peristiwa sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2017.

Ia diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani yang berkata langkah ini dibuat susulan titaj Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta menghargai kegigihan pasukan harimau selatan dalam usaha merangkul piala berprestij tersebut.

“Jika JDT berjaya meraih kemenangan, pengisytiharan itu adalah sebagai rakaman ucapan terima kasih kepada para pemain serta para penyokong yang telah berjaya membawa pulang kejuaraan tersebut buat pertama kalinya sejak 25 tahun.

“Ia juga sebagai menghargai sokongan padu rakyat Johor kepada pasukan JDT, sehingga membolehkan pasukan itu mencipta kejayaan demi kejayaan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, bahawa makluman ini dikeluarkan lebih awal atas dasar keprihatinan Sultan Ibrahim bagi melicinkan operasi mana-mana organisasi memandangkan Ahad merupakan hari bekerja di Johor.

Dalam masa sama, Azmi menyeru semua peminat untuk memberikan sokongan padu untuk pasukan JDT dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Marilah kita tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat kesukanan yang tinggi demi memastikan lakaran sejarah kejayaan pasukan kita dapat direalisasikan pada pertemuan akhir itu,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati para penyokong agar saling menghormati sesama peminat bola sepak yang lain.

Leave a Reply