Bajet 2018 Progresif Dan Inklusif Bagi Anak Muda

Bajet 2018 Progresif Dan Inklusif Bagi Anak Muda

JOHOR BAHRU, 29 Okt- Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyambut baik pembentangan Bajet 2018 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri jumaat lalu.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, kami menyifatkan Bajet 2018 tersebut merupakan suatu bajet yang komprehensif dan inklusif yang memberikan manfaat kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

“Antara intipati Bajet 2018 yang menarik perhatian Pemuda UMNO Johor adalah penekanan soal kemahiran dan belia. Kami mengalu-alukan inisiatif kerajaan di dalam memperuntukan sebanyak RM4.9 billion bagi merealisasikan Pelan Induk TVET Malaysia yang antara lain memberikan penenekanan soal kemahiran yang rata-ratanya memberikan manfaat yang besar kepada anak muda amnya.

Selain itu, buat pertama kalinya kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM4.5 juta bagi Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET, ini dengan secara tidak langsung memastikan kelangsungan modal insan yang berkemahiran di Malaysia,” ujarnya yang juga Pengerusi Pemuda BN Johor.

Melalui inisiatif seperti ini, Pergerakan Pemuda UMNO Johor berpendapat ianya akan menggerakkan lagi minat anak muda Malaysia untuk berkecimpung di dalam sektor kemahiran yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, bukan sahaja di Malaysia, malah di negara luar.

“Sudah semestinya, langkah YAB Perdana Menteri yang memberikan penekanan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran telah disambut dengan jayanya di Johor.

Bajet Johor yang telah diumumkan tahun lalu melalui gagasan Johor Mahir, YAB Menteri Besar Johor telah mengumumkan pembinaan sebuah institusi yang dikenali sebagai Johor Skill Hub yang memberikan fokus dalam menjalankan peranannya untuk melahirkan modal insan berkemahiran dalam usaha memartabatkan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Bajet 2018 ini juga memberi satu penekanan khusus bagi sektor keusahawanan. Peruntukan yang besar dengan mengukuhkan perusahan kecil dan sederhana dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM9.282 billion. Pastinya melalui peruntukan sebesar ini mampu memberikan hasil yang terbaik buat para usahawan yang ingin memulakan mahupun mengembangkan lagi perniagaan mereka,” ujarnya lagi.

Usaha murni ini juga telah disambut oleh kerajaan negeri Johor melalui perlaksanaan Pelan Industri Kecil dan Sederhana Johor yang memberikan manfaat kepada usahawan IKS di negeri Johor. Perlaksanaan Pelan IKS Johor ini dijangkakan mampu memberikan peluang kepada usahawan-usahawan di negeri Johor.

Melalui inisiatif seperti ini, kami dari Pergerakan Pemuda UMNO Johor, memberi jaminan bahawa, kadar inflasi serta perkembangan ekonomi dalam negara akan bertambah baik, dengan pengukuhan ekosistem usahawan di dalam negara, ianya sedikit sebanyak memberi ruang bagi kita memperbaiki kadar inflasi serta mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan bahan-bahan asas daripada luar.

Secara keseluruhan, pengumuman bajet pada kali ini merangkumi elemen – elemen memperkasa anak muda, memudahcara serta memperkuatkan akses pendidikan, serta meringankan beban kos sara hidup bagi rakyat Malaysia.

Tuntasnya, Pemuda UMNO Johor sekali lagi melahirkan rasa teruja dengan pengumuman Bajet 2018 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini. Ianya dilihat mampu menzahirkan harapan besar anak muda untuk merealisasikan aspirasi TN50 yang ingin melihat Malaysia yang lebih maju dan makmur,” tambahnya lagi.

Leave a Reply