Bajet 2018 Beri Impak Besar Kepada Pembangunan Johor – MB

Bajet 2018 Beri Impak Besar Kepada Pembangunan Johor – MB

JOHOR BAHRU, 29 Okt – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Bajet 2018 merupakan bajet ketiga di bawah Pelan Rancangan Malaysia Ke-11, yang beraspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju pada tahun 2020.

Tambahnya, di pihak Kerajaan Negeri Johor, terdapat sekurang-kurangnya 4 perkara penting yang dapat dirumuskan daripada Bajet 2018 ini, yang harus dinilai dengan adil dan objektif oleh semua pihak.

“Pertama, struktur dan fokus yang terarah kepada mempersiapkan negara menghadapi gelombang ekonomi baru masa hadapan. Johor melihat langkah ini sebagai perlu dan tepat memandangkan kita sudah berada di pertengahan RMK11.

Perhatian terhadap evolusi industri keempat dan ekonomi digital di bawah pe-tunjang keenam misalnya, merupakan satu inisiatif yang mampu menjadi lonjakan yang akan membawa impak baharu kepada Malaysia.

Lebih penting, penekanan ini dilakukan dengan strategik dan berhati-hati tanpa mengabaikan inisiatif-inisiatif yang masih diperlukan untuk terus membangunkan sektor-sektor lain seperti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usaha perkembangan kerjaya dan bakat generasi muda,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kedua, usaha bersepadu dan pendekatan baharu dalam memperkukuh dan melonjak sektor-sektor sedia ada.

Antaranya, peruntukan RM6.5 bilion kepada sektor pertanian dalam bentuk bantuan, insentif dan pembangunan infrastruktur. Inisiatif ini pasti akan mampu mengoptimumkan produktiviti serta pertumbuhan sektor ini.

“Pengumuman Tahun Melawat Malaysia 2020 pula dilihat satu langkah yang berupaya menjadi tarikan penting dalam memastikan kemapanan pertumbuhan sektor pelancongan negara.

Johor menyambut baik perkara ini, dan akan membuat persediaan yang sewajarnya di peringkat negeri untuk bersama-sama menjayakannya.

Ketiga, iltizam dalam memastikan wujud kesejahteraan sosial yang inklusif dan berkualiti. Pembangunan masa hadapan yang lebih inklusif menzahirkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tidak ada golongan yang tercicir dari menikmati arus pembangunan dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Rangkaian bantuan serta inisiatif intervensi yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) melalui penerusan program BR1M serta pelbagai bantuan khas untuk rakyat di segenap lapisan, adalah sesuatu yang baik dan bersesuaian dengan keperluan,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Johor.

Keempat tambahnya, secara khususnya kepada Johor, Kerajaan Negeri melihat Bajet 2018 ini sebagai satu komitmen besar yang akan terus membawa impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Johor melihat segala Inisiatif dari Kerajaan Persekutuan ini tidak hanya berfungsi sebagai penggerak, tetapi pemangkin kepada kejayaan pelan pembangunan yang telah dirancang di sini.

“Antaranya, pemfokusan kepada sektor petroleum dan logistik yang bertujuan menarik lebih banyak pelaburan di hab minyak dan gas di Pengerang.

Infrastruktur mega dan segala pelaburan berterusan ini bukan sahaja akan menarik perhatian dan membuka banyak peluang kepada seluruh warga Johor, khususnya anak muda tempatan.

Pengerang juga berpotensi untuk menjadi pusat pemprosesan minyak yang terbesar di Asia Tenggara.

Perkara ini diperkuat dengan segala inisiatif sokongan bagi mengukuhkan keberkesanan serta kecekapan tiga pelabuhan, satu lapangan antarabangsa serta ekosistem logistik sedia ada yang lain di Johor,” ujarnya lagi.

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura pula adalah sesuatu yang sangat dihargai oleh Johor.

Infrastruktur pengangkutan ini bukan sahaja akan membawa kemudahan pengangkutan awam Malaysia dan Singapura ke tahap yang lebih baik, malah akan memacu sektor logistik negeri ini dengan kadar yang lebih deras dan rancak.

“Sebagai negeri yang mempunyai Perusahaan Kecil dan Sederhana ketiga tertinggi, insentif PKS melalui SMECorp adalah sesuatu yang amat dialu-alukan Johor manakala komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merangkumkan usaha merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan bandar-luar bandar melalui skim bantuan dan insentif untuk pekebun kecil dan nelayan serta program penanaman semula getah dan kelapa sawit akan banyak memberi manfaat kepada masyarakat di Johor.

Johor adalah negeri yang mempunyai bilangan tanah rancangan FELDA kedua terbesar selepas Pahang. Justeru, usaha sebegini dilihat mampu memberikan impak positif kepada kesejahteraan para peneroka di negeri ini,” tambahnya lagi.

Secara keseluruhannya, Bajet 2018 merupakan satu bajet yang berjaya menyuntik keterujaan serta menawarkan tarikan baharu kepada Malaysia, bukan sahaja daripada segi kerancakan serta pertumbuhan ekonomi.

Malah, usaha berterusan untuk memastikan yang kemakmuran serta kesejahteraan sosial negara berada pada tahap yang lebih baik.

“Di Johor, kita akan berusaha dan mengambil segala langkah yang diperlukan untuk bersama-sama menjayakan Bajet 2018 ini, terutamanya dalam menyusun strategi bagi memastikan aspirasi Kerajaan Pusat yang mengiktiraf azam Johor untuk menjadi kuasa ekonomi baharu rantau ini, akan tercapai dengan jayanya,” ujarnya lagi.

Leave a Reply