Ammonia:ladang Ayam, Kilang Proses Najis Ayam Diarah Tutup – Khaled

Ammonia:ladang Ayam, Kilang Proses Najis Ayam Diarah Tutup – Khaled

JOHOR BAHRU, 29 Okt  —  Kerajaan negeri Johor mengarahkan ladang ayam telur dan kilang memproses najis ayam kepada baja di Layang-Layang dekat Kluang, yang menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor, ditutup.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata arahan itu dikeluarkan selepas menerima cadangan lapan agensi berkaitan termasuk Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah Daerah Kulai dalam mesyuarat pagi tadi.

“Kita kena ambil tindakan drastik. Kita ambil pendirian, apa-apa yang menyumbang kepada pencemaran Sungai Johor, kita akan itu (tutup). Apa-apa pun, kalau itu puncanya (pencemaran), kita ambil tindakan,”katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Notis 5A dan perasmian Bootcamp e-rezeki dan e-Usahawan peringkat Parlimen Gelang Patah di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata ladang ayam telur dan kilang memproses najis ayam kepada baja itu mempunyai lesen operasi tetapi ia telah melakukan pencemaran ammonia  berulang.

Sejak dua hari lepas, sebanyak 360,000 akaun pengguna terjejas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong di Kota Tinggi terpaksa ditutup ekoran Sungai Johor yang membekalkan sumber air mentah kepada ketiga-tiga LRA berkenaan dicemari ammonia.

Kejadian itu menjejaskan kira-kira dua juta pengguna di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

LRA Semangar membabitkan 160,000 akaun pengguna, LRA Sungai Johor membabitkan 170,000 akaun pengguna manakala LRA Tai Hong pula sebanyak 30,000 akaun.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) Jamaluddin Jamal berkata LRA Semangar dan LRA Sungai Johor sudah beroperasi sepenuhnya pagi tadi namun, bekalan air ke kawasan terlibat akan pulih secara berperingkat menjelang malam ini.

Beliau berkata LRA Tai Hong pula belum boleh beroperasi menyebabkan gangguan bekalan air masih berlaku di kawasan termasuk Johor Jaya, Ulu Tiram dan Taman Pelangi. (Pic: Jauhar)

Leave a Reply