KDN Menyokong Keputusan Kerajaan Menghapuskan Ejen Pengambilan Orang Gaji – @NurJazlan

Oleh Iskandar Ahmad

JOHOR BAHRU, 28 Okt – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong keputusan kerajaan untuk menghapuskan ejen pengambilan orang gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Menteri KDN, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perhapusan tersebut adalah kerana banyak menerima keluhan daripada majikan bahawa mereka terpaksa membayar fi yang tinggi bagi pengurusan orang gaji yang sebenarnya jauh lebih tinggi daripada fi atau levi yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

“Ada dakwaan daripada ejen-ejen pula bahawa mereka perlu mengenakan caj tinggi untuk kos membuat saringan kesihatan dan latihan untuk orang gaji sebelum mereka dibawa masuk ke Malaysia.

“Apabila kerajaan mendapati ejen-ejen mengenakan caj berlebihan dan membebankan rakyat, maka Jabatan Imigresen Malaysia diarahkan untuk membuat sistem online untuk pemohon memohon secara langsung dan permit akan dikeluarkan kepada pembantu rumah asing yang dibawa masuk secara peribadi.

“Bayaran levi dan fi yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia setakat ini masih belum diperincikan tetapi ianya berkemungkinan tidak melebihi RM3,000 untuk keseluruhannya, katanya.

Menurut beliau, mengenai isu ejen yang mengenakan caj yang tinggi itu akan membawa kepada tuduhan bahawa kerajaan menggalakkan pemerdagangan manusia.

“Kerana perbuatan mereka boleh dituduh sebagai satu aktiviti pemerdagangan manusia kerana ejen mengambil keuntungan dari pengurusan pengambilan pekerja asing.

“Jadi langkah ini baik untuk menangkis tomahan bahawa kerajaan menggalakkan aktiviti pemerdagangan manusia yang sebenarnya menjadi isu besar negara sekarang ini, katanya.

Leave a Reply