#Bajet2018: Sektor Kesihatan Terima RM27 Bilion – @NajibRazak

#Bajet2018: Sektor Kesihatan Terima RM27 Bilion – @NajibRazak

Sektor Kesihatan Terima RM27 Billion – Bajet 2018

Oleh Iskandar Ahmad

 

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Dalam bajet 2018, sektor kesihatan menerima peruntukan sebanyak RM27 bilion untuk memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf kemudahan wad, bekalan ubat serta sokongan perubatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata daripada jumlah berkenaan, hampir RM2.5 bilion diperuntukkan untuk bekalan ubat-ubatan dan RM1.6 bilion barangan boleh dimakan (consumable) dan sokongan perubatan.

“Bagi memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat, kita memperuntukkan RM1.4 bilion bagi menaik taraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulans termasuk pembinaan dewan bedah secara modular di Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau.

“Seterusnya peruntukan itu termasuk menaik taraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar,” katanya.

Menurut Najib, sebanyak RM100 juta bagi menaik taraf hospital dan klinik dan terdapat dua insentif khusus diperuntukkan kepada golongan tidak berkemampuan.

“Mulai tahun 2018 pesakit hanya perlu membayar RM10 berbanding RM110 bagi setiap sesi rawatan menerusi bantuan subsidi haemodialisis bernilai RM50 juta serta sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan bagi Tabung Bantuan Perubatan.

Najib turut mengumumkan RM10 juta bagi menampung kos perubatan bagi penyakit jarang ditemui, program Komuniti Sihat Perkasa RM30 juta disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa yang meliputi 10,000 kawasan di seluruh negara.

Tambah beliau, sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada Skim Insurans Kesihatan Sukarela bagi memperkasakan lagi sektor kesihatan di Malaysia khasnya.

Seterusnya, dengan kos setiap RM1 bilion akan diperuntukkan bagi menambah 300 katil di wad wanita dan kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang dan Hospital Putrajaya.

“Sebanyak RM500 juta diperuntukkan kepada Pusat Kanser di Sungai Petani, Kedah bagi kemudahan tambahan 200 katil.

“Sektor kesihatan akan menerima RM500 juta untuk pembinaan blok klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang yang berkapasiti 300 katil, pusat perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur dengan kos RM380 juta, katanya ketika pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Leave a Reply