#Bajet2018: Bayaran khas RM1,500 untuk penjawat awam – @NajibRazak

#Bajet2018: Bayaran khas RM1,500 untuk penjawat awam – @NajibRazak

Bayaran khas RM1,500 untuk penjawat awam

Oleh Iskandar Ahmad
KUALA LUMPUR, 27 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian khas sejumlah RM1,500 kepada semua penjawat awam.

Menurut beliau, bayaran berkenaan akan diberikan dua kali, iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 manakala RM500 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.

“Tidak dilupakan juga kepada pesara kerajaan, bayaran khas sebanyak RM750, iaitu RM500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri,” katanya.

Najib berkata, antara pengumuman yang ditunggu-tunggu dalam bajet kali ini adalah daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Sementara itu, bagi menghargai sumbangan para penjawat awam, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif kepada penjawat awam antaranya ialah menaikkan kadar cuti rehat khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun.

“Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan  bagi menunaikan umrah.

“Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang lebih awal sejam dan suami yang bekerja dengan kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam tetapi dengan syarat suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan, katanya.

Itu adalah antara pengumuman beliau di dalam pembentangan Bajet 2018 bagi penjawat awam dan langkah-langkah berkenaan akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018.

Leave a Reply