Bajet 2018 , Cabaran Dalam Memenuhi Jangkaan Rakyat – PM

Bajet 2018 , Cabaran Dalam Memenuhi Jangkaan Rakyat – PM

PUTRAJAYA, 26 Okt — Cabaran terbesar dalam penyediaan Bajet 2018 ialah usaha untuk memenuhi jangkaan rakyat, dan sejauh mana ia dapat dipenuhi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam taklimat kepada editor media di sini hari ini, Perdana Menteri berkata pasukan bajetnya berbincang dan bekerja keras dalam tempoh yang lama mntuk menyediakan Bajet 2018 memandangkan semua pihak mempunyai harapan yang tinggi.

Najib mahu rakyat memahami matlamat bajet kerana ia mesti mencerminkan pengurusan ekonomi, kewangan dan fiskal negara yang kukuh.

Bajet 2018 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang esok.

“Ia pertama kali bermula pada 3.30 petang memandangkan Maghrib masuk pada 7 malam. Kami mahu memastikan ada masa untuk menunaikan solat Asar, dan tidak berpanjangan kepada waktu Maghrib. Kami tidak boleh mengubah waktu Maghrib namun masa pembentangan Bajet boleh ditukar,” katanya dan menambah ucapan beliau tidak terlalu panjang namun ada banyak perkara yang akan beliau perkatakan.

Bagi Najib, penyediaan Bajet 2018 merupakan satu lagi cabaran besar memandangkan apa sahaja yang beliau kata atau lakukan akan diterima dan diinterpretasi sebagai Bajet Pilihan Raya.

Walaupun mudah untuk melabelnya begitu, Najib berkata kerajaan pada hakikatnya sentiasa konsisten dalam memperkenalkan projek-projeknya.

Malah, beliau berkata cadangan Bajet Pembangkang lebih populis.

“Bajet Pembangkang bukan berasaskan fakta dan angka, dan akan menyebabkan ‘lubang besar’ dalam kewangan kerajaan. Mereka tidak mempunyai kepimpinan yang padu dan ini dicerminkan dalam cadangan bajet yang kurang kredibiliti dan konsistensi.

“Ini menunjukkan langkah mereka tidak populis sepenuhnya dan tidak dapat disokong dengan angka seperti hasil. Langkah yang dicadangkan juga tidak boleh dilaksanakan, dan oleh itu tidak sesuai,” kata Najib.

Mengenai bahagian saksama yang akan diperoleh Pembangkang dalam Bajet 2018, beliau berkata ia merupakan tanggungjawab moral.

“Ada antaranya, sebagai contoh, bekalan air, sudah menjadi tanggungjawab moral kerajaan persekutuan untuk menyediakan bekalan air. Kita tidak boleh menafikan bekalan air bersih untuk rakyat hanya kerana kami tidak memerintah negeri. Malah ada lebuh raya yang melalui negeri-negeri pakatan Pembangkang.

“Kami mahu membuktikan kami bertanggungjawab dan ada masanya kami mahu melangkaui poiitik . Kami perlu memenuhi obliasi moral sebagai kerajaan,” kata Perdana Menteri.

Leave a Reply