Bajet 2018 Ambil Kira Kepentingan Rakyat – PM

Bajet 2018 Ambil Kira Kepentingan Rakyat – PM

PUTRAJAYA, 26 Okt — Bajet 2018 akan merupakan bajet inklusif yang mengambil kira kepentingan rakyat dari semua lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain memperkenalkan lebih banyak program untuk rakyat, termasuk yang belum dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata pembangkang juga akan mendapat bahagian yang saksama daripada bajet tersebut.

Bercakap pada taklimat media kepada para editor di sini hari ini, beliau berkata Bajet 2018, yang akan dibentangkan di Parlimen esok, juga akan menekankan isu-isu berkaitan belia, agenda Bumiputera, Pelan Tindakan masyarakat India serta yang berkaitan masyarakat Cina.

Bajet itu juga akan melibatkan bidang-bidang yang mewujudkan sumber pertumbuhan baru untuk negara, serta kekayaan baru untuk rakyat, menangani cabaran dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, Digital Malaysia, kesalinghubungan serta melabur dalam infrastruktur yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Najib berkata bajet itu tidak sepatutnya dilihat sebagai satu senarai permintaan sahaja, berapa banyak yang diperoleh, tetapi dilihat dalam konteks keseluruhan pengurusan ekonomi dan kewangan yang kukuh di negara ini.

“Pengurusan yang baik (kerajaan) sangat bertanggungjawab, sangat berhati-hati tetapi pada masa yang sama mengambil berat terhadap kepentingan rakyat dan memajukan negara dari segi pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Bukan kerana anda mahu menjadi kerajaan populis tetapi ia mesti didasarkan pada ekonomi modal dan ekonomi rakyat. Oleh itu, apa yang kita lakukan mestilah bertanggungjawab, boleh dipercayai dan mampan,” jelasnya.

Perdana Menteri juga berkata kepentingan rakyat akan terjejas sekiranya negara tidak mencatatkan pertumbuhan atau menikmati keyakinan pasaran global atau jika agensi penarafan tidak memberikan kad laporan yang baik.

Beliau berkata kerajaan amat konsisten dalam rancangan dan dasarnya dan mereka bukanlah yang tidak tetap pendirian.

“Kerajaan ini konsisten dan bukan flip-flop (tidak tetap pendirian). Kerajaan ini boleh terus berada di landasan yang sama dan akan mempunyai tonggak penting yang diukur dalam matlamat jangka panjang untuk negara.

“Apa yang diperlukan oleh rakyat ialah kerajaan yang memberi mereka kepastian tentang apa yang menjadi dasar ekonomi negara,” kata beliau, sambil menambah bahawa rakyat berhak mendapat manfaat daripada pertumbuhan dan kemajuan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini dijangka melebihi lima peratus seperti yang diunjurkan oleh kebanyakan agensi antarabangsa selepas mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada separuh pertama.

Leave a Reply